SALJI tebal dan cuaca terlampau sejuk di Tokyo menyebabkan beberapa puluhan penduduk cedera, penerbangan dibatalkan dan beberapa perkhidmatan kereta api lumpuh, semalam selepas agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran salji pertama dalam tempoh empat tahun bagi bandar itu.
Orang ramai di kota metropolis Jepun itu terpaksa merempuh salji untuk pulang ke rumah pada waktu puncak selepas tamat waktu bekerja.
“Sekurang-kurangnya 67 cedera dalam kemalangan berkaitan salji di Tokyo dan ia dijangka meningkat kerana panggilan kepada ambulans berterusan,” kata jurucakap jabatan bomba.
Lebih 330 penerbangan domestik dari dan ke lapangan terbang di Tokyo dibatalkan akibat cuaca buruk, manakala perkhidmatan kereta api juga digantung, lapor berita tempatan.
Wilayah di utara Jepun kerap menerima salji tebal tetapi keadaan itu jarang berlaku di Tokyo.
Orang ramai bersesak-sesak meredah salji tebal di Shinjuku, stesen kereta api paling sibuk di dunia.
Rakaman televisyen menunjukkan penumpang beratur panjang di sebuah stesen bas di satu lagi daerah, iaitu Shibuya, ketika salji menyelimuti bandar itu.
Agensi cuaca cuma mengeluarkan amaran salji tebal apabila bimbang ia mungkin menyebabkan kerosakan harta benda atau mengganggu lalu lintas.
“Di Tokyo, kami juga beri amaran salji turun dengan lebat, dan dijangkakan akan setebal 10cm dalam tempoh 12 jam,” kata Sakiko Nishioka dari agensi ramalan cuaca.
Kali terakhir amaran seumpama itu dikeluarkan ialah pada Februari, 2014, di mana Tokyo dilanda salji setebal 27cm. – AFP, 23 Januari, 2018.
Komen