Jualan kuih bulan merudum akibat Covid-19 


Angie Tan

Rata-rata pengusaha kuih bulan kini beralih ke platform dalam talian untuk jualan mereka.– Gambar EPA, 12 September, 2021.

JUALAN kuih bulan tahun ini menurun dengan drastik berikutan perayaannya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kata pengusaha. 

Menurut mereka, kuih bulan yang sinonim dengan perayaan pertengahan musim luruh, tidak lagi popular kerana masyarakat bergelut untuk mencari sumber pendapatan selepas hampir dua tahun berdepan virus Covid-19. 

Mereka berkata ketidaktentuan dalam operasi perniagaan dan juga rasa taku8t masyarakat untuk keluar menjejaskan perniagaan mereka, dan ada di antara mereka beralih kepada perniagaan dalam talian. 

Kenaikan harga bahan mentah untuyk pembuatan kuih bulan juga merupakan antara cabaran yang terpaksa mereka hadapi. 

Pengasas kuih bulan jenama Kam Lun Tai, Lum Tuck Long berkata jenama itu biasanya dijual dengan membuka gerai di pasar raya namun kini beralih ke perniagaan dalam talian. 

“Selepas penularan wabak Covid-19, untuk membuka gerai di pasar raya sangat susah kerana ia terpaksa ditutup sekiranya terdapat kes pisitif di premis dan menjejaskan jumlah poengunjung di pasar raya,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

“Sekiranya ini berlaku, jualan kami langsung tak laku dan hanya mampu menjual satu atau dua kotak sahaja. Tahun ini, kamu kurangkan jumloah gerai dan hanya memilih pasar raya besar sahaja di pusat bandar.”

Dengan penularan kes masih tidak terkawal, Lum berkata pelangan warga emas dilarang keluar dan hanya golongan muda yang membeli kuih bulan ketika ini. 

“Jualan kami dalam talian lebih baik berbanding tahun lepas namun oleh kerana kami terpaksa membayar untuk kiriman dan bungkusan, jualan masih lagi rendah berbanding pasca-pandemik.”

Tambahnya, jualan kuih bulan bagi jenama itu turun 50% hingga 80%. 

“Jualan kami di Johor yang paling banyak terjejas kerana pelanggan kami sebelum ini datang dari Singapura dan kini mereka tidak boleh rentas tambak menyebabkan jualan turun 70% hingga 80%,” katanya. 

Lum yang juga pengerusi eksekutif KLT Food Industries Sdn Bhd berkata biasanya kuih bulan jenama Kam Lun Tai dieksport ke Australia, Indonesia, Brunei, namun oleh kerana pandemik jumlah tempahan juga berkurangan. 

“Harga bahan mentah naik kerana pandemik dan pengusaha takut untuk mengambil tempahan dalam skala yang besar.”

Lum berkata harga bahan mentah bagi sekotak kuih bulan naik sehingga RM6 tahun ini. 

Kenaikan harga bahan mentah untuk kuih bulan turut memberi kesan kepada perniagaan.– Gambar EPA, 12 September, 2021.

Satu lagi pengeluar kuih bulan, Fung Wong Biscuits yang diasaskan pada tahun 1909 dan beroperasi di Jalan Petaling berkata perniagaan agak perlahan sejak beberapa bulan lalu. 

Generasi keempat pengeluar Melvin Chan Yuee Soon berkata mereka terpaksa beralih ke jualan secara dalam talian kerana jualan di premis sangat teruk. 

Menurutnya, jualan secara dalam talian agak baik kerana pelanggan datang dari seluruh negara. 

“Nasib baik dengan jualan dalam talian dan logistik yang mudah, ini memmeli peluang untuk kami teruskan perniagaan.”
 
Walaupun penjualan dalam talian baik untuk perniagaan, Chan berpendapat dia lebih terbiasa dengan penjualan runcit.

“Ketika pelanggan membuat pesanan dalam talian, kami harus menghantar dan menghantar barang dan memerlukan lebih banyak masa untuk memproses pesanan. Dengan tempoh masa yang sama, di kedai kami dapat melayani 10 pelanggan.

“Namun oleh kerana hanya ini alternatif terbaik yang kami tahu, kami tiada pilihan,” katanya. 

Walaupun mereka berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah, Chan mengatakan kedai itu tidak menaikkan harga kuih bulannya dalam tiga tahun.

“Melihat sokongan yang kuat dari pelanggan kami, kami lebih suka memperoleh sedikit keuntungan dan menyerap kos serta menghasilkan kuih bulan berkualiti tinggi.”
 
Pengurus projek kedai hadiah Yong Sheng, Ng Zhi Khai berkata, kedai itu telah menjual kuih bulan selama tiga minggu tetapi sebahagian besar pesanannya dibuat secara dalam talian.
 
“Sebelum ini, perniagaan di kedai bagus kerana orang ramai ingin melihat dan merasakan kuih bulan. Sekarang dengan wabak yang melanda, orang ramai hanya tinggal di rumah dan membuat pesanan dalam talian,” katanya.

Sebilangan besar pesanan di kedai itu datang dari mereka yang tidak dapat pulang untuk meraikan perayaan pertengahan musim luruh bersama keluarga, katanya.

“Jualan dalam talian meningkat 300% berbanding tahun lalu tetapi kedai fizikal kami sangat terjejas. Hanya lapan dari 10 kedai kami yang dibuka.
 
“Sebelum pandemik, jualan dari lapan kedai kami melebihi jualan dalam talian. Namun, kini jualan dalam talian mengisi jurang itu.”
 
Ng berkata kos penjualan dalam talian cukup tinggi kerana mereka perlu membungkus pesanan dalam kotak kadbod dan menghantarnya kepada pelanggan.

“Kami menempah bungkusan khas dari China, tetapi kos penghantarannya meningkat beberapa kali ganda sekarang. Sekotak, yang berharga RM3, kini berharga RM8 hingga RM9 setiap satu. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen