120,000 bantah 'pas kesihatan' Covid-19 di Perancis


Lebih 120,000 sertai tunjuk perasaan di Perancis semalam bagi membantah penggunaan pas kesihatan Covid-19. – Gambar EPA, 12 September, 2021.

LEBIH 120,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Perancis bagi membantah penggunaan pas kesihatan Covid-19 yang dikatakan diskriminasi terhadap mereka yang tidak divaksinasi.

Pas kesihatan atau slip keputusan negatif ujian Covid-19 diperlukan untuk memasuki kafe, restoran dan banyak tempat awam lain dalam usaha kerajaan menangani penularan virus itu di negara berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan seramai 121,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara dengan 19,000 daripadanya di kota Paris dan polis turut menahan 85 penunjuk perasaan selepas berlaku pertempuran.

Tiga anggota polis turut cedera ringan ketika tunjuk perasaan itu, menurut kementerian.

Ia tunjuk perasaan kali kesembilan berturut-turut yang diadakan pada hujung minggu.

Pegawai pihak berkuasa memberitahu mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan di seluruh negara berjumlah 140,000 orang pada hujung minggu lalu, dan 237,000 orang dianggarkan awal bulan lalu.

Protes berlangsung semalam, sehari selepas bekas menteri kesihatan Perancis Agnes Buzyn didakwa dalam isu menangani pandemik Covid-19 selepas penyiasat di mahkamah khas di Paris menyimpulkan mempunyai alasan untuk mendakwanya.

Buzyn yang juga bekas doktor didakwa membahayakan nyawa individu lain. – AFP, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen