Israel terus buru 2 lagi rakyat Palestin bolos penjara


Mohammed Aradeh (tengah), salah seorang daripada enam rakyat Palestin yang berjaya melarikan diri dari penjara Israel, ditahan semula sebelum dibawa ke mahkamah di Nazareth. – Gambar EPA, 12 September, 2021.

POLIS Israel berkata insiden enam rakyat Palestin yang berjaya meloloskan diri dari penjara keselamatan tinggi, Gilboa sebagai tindakan paling berani pernah berlaku dalam sejarah negara.

Setakat ini empat daripada mereka berjaya ditahan semula.

Selepas meloloskan diri pada Isnin lalu, Israel mengerah sekumpulan besar tenteranya ke Tebing Barat bagi memburu semua banduan itu.

Menurut polis, seorang daripada dua warga Palestin yang ditahan semula adalah bekas pemimpin gerakan terkemuka dan dijumpai bersembunyi di tempat letak kenderaan untuk lori, di luar Nazareth dekat utara Israel.

Zakaria Zubeidi, 46, mengetuai sayap bersenjata gerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas di bandar Jenin, Tebing Barat.

Sementara itu, Mohammad Ardah, 39, menerima hukuman penjara seumur hidup pada 2002 kerana peranannya dalam gerakan sayap bersenjata.

“Pencarian membabitkan dua lagi banduan yang melarikan diri akan diteruskan,” kata polis.

Petang kelmarin, polis menahan dua ahli kumpulan pejuang di Palestin iaitu Yaqub Qadri, 48, dan Mahmud Abdullah Ardah, 45.

Mahmud didakwa sebagai dalang rancangan melarikan diri itu.

“Polis mengesan dan mengejar mereka dengan helikopter. Mereka tidak melawan ketika ditahan di selatan Nazareth,” kata pihak polis dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett memuji operasi yang disifatkan sebagai tindakan “bersungguh-sungguh dan berterusan” sehingga membawa kepada penemuan empat tahanan itu.

“Operasi perlu diteruskan sehingga penangkapan semula dua lagi tahanan,” katanya yang merujuk kepada dua lagi banduan yang masih gagal ditemui, Ayham Kamamji, 35, dan Munadel Infeiat, 26.

Sebelum ini, enam warga Palestin berkenaan berjaya meloloskan diri daripada penjara melalui terowong yang dikorek di bawah sinki. – AFP, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen