SEORANG lelaki warga Kanada didakwa atas tuduhan melakukan serangan dengan senjata kerana didakwa membaling batu ke arah Perdana Menteri Justin Trudeau pada satu program kempen, kata polis.
Shane Marshall, 25, dibawa ke mahkamah semalam di Toronto, di mana insiden berkenaan berlaku pada Isnin ketika Trudeau sedang menaiki bas kempennya.
Trudeau, 49, yang tidak cedera, berkata tindakan membaling barang dan membahayakan keselamatan orang lain di himpunan politik, adalah sikap yang tidak boleh diterima.
Lawannya dalam kempen itu turut mengutuk insiden berkenaan.
Trudeau berulang kali berdepan penunjuk perasaan yang berang dengan arahan pengambilan vaksin koronavirus yang diwajibkan dan beberapa langkah krisis lain sepanjang kempen berlangsung menjelang pilihan raya 20 September depan.
Pada Jumaat, seorang lagi penunjuk perasaan didakwa kerana mengugut Trudeau di satu himpunan di Cambridge, Ontario.
Kes Marshall ditetapkan untuk sebutan pada 6 Oktober.
Trudeau, yang berhasrat mengekalkan kedudukannya untuk penggal ketiga, pada masa ini berdepan saingan hebat daripada pemimpin Konservatif Erin O’Toole. – AFP, 12 September, 2021.
Komen