4 maut dalam serangan di utara Iraq


Serangan mengorbankan empat nyawa termasuk wakil penduduk bandar utara Mosul dan sekurang-kurangnya seorang pegawai polis serta anggota militan pro-Iran. – Gambar AFP, 11 September 2021.

EMPAT individu termasuk anggota keselamatan Iraq terbunuh dalam serangan kumpulan pejuang Islamic State (IS) berhampiran bandar utara Mosul hari ini, kata pegawai.

Serangan itu berlaku pada waktu malam di wilayah Makhmur di selatan Mosul, bekas kubu kuat IS, kata pegawai keselamatan yang enggan namanya didedahkan.

“Ia mengorbankan empat nyawa termasuk wakil penduduk dikawasan terbabit dan sekurang-kurangnya seorang pegawai polis serta anggota militan pro-Iran Hashed al-Shaabi,” kata pegawai itu.

Sementara itu, pegawai di perkampungan berdekatan, Salih al-Jiburi berkata pejuang “Daesh” itu menyasarkan serangan terhadap kedudukan Hashed kira-kira jam 2:00 pagi (waktu tempatan).

Katanya, mereka melancarkan serangan dan melepaskan beberapa tembakan sewaktu serangan.

Ia tercetus kurang seminggu selepas serangan IS berhampiran bandar Kirkuk di utara mengorbankan 13 anggota polis persekutuan Iraq.

Pejuang terbabit juga mengaku bertanggungjawab atas serangan besar pada Julai yang mengorbankan lebih 30 nyawa di sebuah pasar di daerah Syiah di Kota Sadr, Baghdad.

IS menakluki Mosul dalam serangan kilat pada 2014 dan selama tiga tahun bandaraya itu menjadi nadi utama kepada pejuang Islam tersebut.

Bandar itu ditawan semula tentera Iraq dan gabungan dipimpin Amerik Syarikat (AS) susulan pengeboman dan pertempuran sengit.

Pasukan gabungan antarabangsa di Iraq ketika ini berjumlah kira-kira 3,500, di mana 2,500 adalah tentera AS. – AFP, 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen