1,247 pesakit Covid-19 terima rawatan di ICU, kata KP kesihatan


Noel Achariam

Sebanyak 1,247 pesakit Covid-19 dirawat di ICU dan 667 memerlukan bantuan pernafasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September 2021.

MALAYSIA terus mencatat jumlah kes Covid-19 yang tinggi di unit rawatan rapi (ICU) dengan 1,247 kes dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 936 disahkan kes Covid-19, sementara 375 adalah kes disyaki dan dalam siasatan.

Noor Hisham juga berkata terdapat 667 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau menambah yang 453 pesakit ini disahkan kes Covid-19, sementara 214 orang dipercayai dijangkiti virus atau kes dalam siasatan.

Sementara itu, 21,771 individu pulih berbanding 19,550 jangkitan baharu hari ini.

Sebanyak 19,285 kes hari ini berada dalam Kategori 1 (tanpa gejala) atau Kategori 2 (gejala ringan).

Pada peringkat jangkitan lebih serius, 265 kes berada dalam Kategori 3, 4, atau 5.

Terdapat 28 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 17 daripadanya melibatkan tempat kerja, 6 penularan dalam komuniti, 3 membabitkan kumpulan berisiko tinggi dan 2 dari sektor pendidikan.

Awal hari ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 berkata 90.5% atau 21,195,780 juta penduduk dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.

Jawatankuasa itu juga berkata setakat ini, 72% atau 16,856,812 juta populasi dewasa sudah mendapat suntikan lengkap.

Ini menjadikan jumlah suntikan dikeluarkan sejak permulaan program imunisasi pada Februari tahun ini kepada 38,001,646.

Dari segi jumlah penduduk, 51.6% sudah diberi vaksin lengkap sementara 64.9% menerima sekurang-kurangnya satu suntikan. – 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen