Langkawi sedia terima pelancong walaupun belum ada SOP khusus


Raevathi Supramaniam

Pelancong domestik dari seluruh negara yang lengkap vaksin kecuali penduduk di kawasan PKPD akan dibenarkan ke Langkawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September 2021.

PERSIAPAN menjelang pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi yang akan bermula pada 16 September ini sedang giat dijalankan walaupun garis panduan khusus berhubung pembukaan semula pulau bebas cukai itu masih belum dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata pemilik perniagaan.

Sementara itu, pemain industri pelancongan di pulau itu berkata mereka akan menguna pakai SOP Covid-19 semasa kerana mereka percaya SOP khusus pulau berkenaan tidak akan jauh berbeza daripada sedia ada.

Pemilik Tropical Charters Sdn Bhd, Alexander Issac berkata SOP semasa sudah cukup ketat.

 “SOP utama MKN sudah ada dan kami sudah melaksanakannya. Mereka hanya akan menambah beberapa perkara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khamis lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) berkata pelancong domestik dari seluruh negara yang sudah lengkap divaksinasi kecuali penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) akan dibenarkan melakukan perjalanan ke pulau itu.

Pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum berlepas dengan menunjukkan dokumen yang diperlukan seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit tempahan hotel sebagai bukti.

Mereka yang melakukan perjalanan darat perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

Walaupun kerajaan tidak mewajibkan pengunjung menjalankan saringan sebelum melakukan perjalanan ke Langkawi namun Isaac telah memasukkan ujian RTK antigen dalam pakej pelancongannya.

“Dalam pakej pelancongan kami, kami menawarkan ujian RTK semasa ketibaan. Apa yang paling penting adalah membuat pelancong merasa selamat untuk melancong ke sini,” katanya.

Issac berkata pembersihan besar-besaran juga dilakukan di Pantai Chenang yang tidak dibuka kepada aktiviti perniagaan lebih 20 bulan.

“Chenang umpama bandar hantu. Sukarelawan daripada pihak berkuasa tempatan, tentera laut dan PDRM mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan ini. Ia merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Industri pelancongan di Langkawi berkata mereka akan menguna pakai SOP Covid-19 semasa kerana percaya SOP khusus pulau itu tidak akan jauh berbeza daripada SOP sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

Issac berkata syarikatnya yang menjalankan aktiviti pelayaran sambil melihat matahari terbenam dan mengelilingi pulau menerima banyak pertanyaan sejak pengumuman gelembung pelancongan itu.

“Ada banyak pertanyaan dari Lembah Klang. Daripada 100 pertanyaan yang diterima, kira-kira 20 mengesahkan tempahan mereka pada September. Ini adalah pelancongan balas dendam, orang berminat untuk melakukan perjalanan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Nasaruddin Abdul Mutalib sebelum ini berkata kepada The Malaysian Insight beliau mengharapkan MKN akan mengumumkan SOP pulau itu pada 10 September.

Semakan hari ini mengesahkan SOP itu belum dikeluarkan. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen