Kenapa Hadi Awang yakin PAS jadi penentu kuasa


Chan Kok Leong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengacung keris ketika melancarkan jentera pilihan raya PAS Selangor pada Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam, Selangor kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

ABDUL Hadi Awang yakin PAS boleh jadi penentu kuasa politik di peringkat persekutuan dan negeri dengan sasaran menang jumlah kerusi tertentu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, dan penganalisis politik mula membaca apakah keyakinan beliau itu ada asasnya.

Pada Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam, Selangor kelmarin, Hadi menegaskan keyakinannya apabila mengumumkan PAS akan bertanding 130 kerusi Parlimen “sekurang-kurangnya untuk dapat majoriti mudah”.

“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” kata Hadi pada rapat umum itu, yang menyaksikan beliau mengacung keris melancarkan jentera pilihan raya PAS Selangor.

Gabungan politik atau parti politik memerlukan paling sedikit 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Keyakinan Hadi itu bukan saja bagi kerusi persekutuan tetapi juga negeri. Beliau mencongak PAS boleh menang sekurang-kurangnya 13 daripada 56 kerusi dalam pilihan raya negeri di Selangor dan 32 daripada 45 kerusi di Kelantan.

Hadi juga berkata PAS boleh menang 8 daripada 36 kerusi DUN Kedah dan 4 daripada 59 kerusi di Perak, malah boleh membentuk kerajaan negeri di Perlis.

Tetapi dalam tiga pilihan raya umum yang lalu, parti Islam itu hanya menang satu daripada 15 kerusi yang ada di dewan undangan negeri (DUN) Perlis.

Malah anehnya juga, Hadi tidak menyebut bayangan keyakinannya tentang Terengganu, negeri yang pernah beliau pimpin selama satu penggal pada 1999 sebagai menteri besar, sebelum kalah kepada Umno pada PRU 2004. PAS sekarang ada 14 daripada 32 kerusi di DUN Terengganu.

Selebihnya, hanya kurang 10% daripada 50,000 ahli PAS di Selangor yang hadir ke Himpunan Fastaqim 2.4 itu.

Jadi, dari manakah datangnya keyakinan Hadi bahawa PAS boleh jadi kuasa penentu pada PRU14 nanti?

Bagaimana membaca Hadi

Menurut penganalisis, keyakinan Hadi ini datang daripada strategi kempen yang menyerang Dr Mahathir Mohamad, dan bukannya Umno, yang akan lebih ternampak jelas dalam waktu yang terdekat.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS akan bertanding 130 kerusi Parlimen sekurang-kurangnya untuk dapat majoriti mudah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

Hadi memusatkan serangan kepada kesilapan masa lalu pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dan sebaliknya berkendur terhadap Umno, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.

“Serangannya ditumpukan kepada Dr Mahathir dan bagaimana bekas perdana menteri itu menghentikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu pada 1999 semasa Hadi jadi menteri besar.

“Hadi tidak serang Umno secara langsung kerana strategi terbaru PAS ialah untuk memenangi undi daripada penyokong Umno,” kata Hisommudin.

PAS terpaksa menagih undi Umno kerana ia dijangka akan hilang sokongan daripada pengundi bukan Melayu selepas parti Islam itu berpisah dengan parti-parti pembangkang yang kini bergabung dalam PH.

“Jalan kemenangan PAS dalam pertembungan tiga penjuru ialah dengan mengharapkan undi daripada penyokong Umno.”

Peneliti politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata strategi PAS tidak menyerang Umno itu selari dengan cita-citanya mahu jadi penentu kuasa politik.

Ia juga konsisten dengan pendirian PAS bersetuju atas beberapa dasar kerajaan persekutuan tetapi menentang dasar yang tidak menguntungkan rakyat, katanya.

Kuasa ketiga

Kenyataan Hadi itu membalut keyakinan bahawa PAS boleh jadi kuasa ketiga yang mampu menggugat BN dan PH.

“Ini kerana keyakinan PAS pada jentera pilihan rayanya sendiri dan ribuan ahli baru yang didaftarkan setiap bulan,” kata Mazlan.

“Tetapi Hadi tidak sebut Terengganu kerana beliau tahu negeri itu akan kekal dengan BN,” katanya yang pernah membuat simulasi keputusan PRU14 Terengganu.

Penganalisis berkata banyak penyokong PAS di Lembah Klang keliru dengan hala tuju parti dan mungkin memutuskan tidak datang ke Fastaqim 2.4. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

Kajian Mazlan, yang dibentangkan di Universiti Malaya minggu lalu, menunjukkan PAS hanya boleh menang dua kerusi DUN sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dengan BN dan PH.

Walaupun kehadiran rendah di Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam kelmarin sudah dijangka, Mazlan berkata sokongan kepada PAS di Kelantan dan Terengganu secara umumnya lebih tinggi berbanding di negeri lain.

“Pengikut PAS di Lembah Klang tidak peduli untuk tunjuk muka pada majlis-majlis seperti ini, tidak seperti rakan-rakan mereka di Kelantan dan Terengganu,” kata Mazlan.

Satu lagi faktor, menurut Mazlan, perpecahan PAS pada 2015 yang membawa kepada munculnya parti serpihan, Amanah.

“Banyak penyokong PAS di Lembah Klang keliru dengan hala tuju parti dan mungkin memutuskan tidak datang,” tambahnya.

Hisommudin berkata Fastaqim 2.4 berjaya menggerakkan jentera pilihan raya PAS di Selangor dan memberi petunjuk jelas PAS di negeri itu tidak akan bekerjasama dengan BN mahupun PH. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ni yg dikatakan syok sendiri

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • PAS dan UMNO sama skali tiada kaitan politik, dia nak serang BN ke PH ke xda kena mengena dengan BN.. PAS terlebih yakin yang dia mampu menentukan siapa yang akan pegang kerajaan tapi malangnya terengganu pun dia tak dapat selamatkan. sekarang majoriti kelantan dah mula buka mata dan berbalik kepada UMNO mustahil PAS dapat tentukan siapa yang akan jadi PM

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Hadi yakin tidak lama lagi dia akan bertemu dengan Ilahi dan masa itu, dia fikir paling teruk dia boleh kata dia dah bercuba walaupun jahanam kita semua. Pada kiraan Hadi mungkin dia hanya ada 2 kerusi, tapi jika UMNO hanya menang 110, dia akan jadi Kingmaker kerana dia fikir Najib in akhlak paling lemah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan