PEGAWAI maritim Perancis menyelamatkan 126 pendatang yang cuba menyeberangi terusan ke Britain ketika ketegangan meningkat susulan ketibaan semakin ramai di perairan selatan England.
Sekurang-kurangnya 14,100 orang sudah melintasi terusan ke United Kingdom (UK) dengan bot kecil tahun ini, menurut agensi berita tempatan Britain, Press Association - kira-kira 6,000 melebihi jumlah keseluruhan pada 2020.
Sebanyak 828 orang menyeberang dari Perancis dalam sehari pada akhir Ogos, mengambil kesempatan cuaca yang baik pada akhir musim panas.
Pihak berkuasa maritim Perancis pada Sabtu berkata kapal pertama yang membawa 43 orang, termasuk enam wanita dan dua bayi, berjaya dipintas oleh kapal peronda selepas ia berdepan masalah.
Seramai 40 pendatang diselamatkan dalam operasi lain. Sementara, 43 lagi diselamatkan dari perairan terusan selepas memberi isyarat bantuan.
Perancis mempunyai dasar tidak memintas kapal pendatang kecuali mereka meminta pertolongan, dan sebaliknya menghantar mereka ke perairan Britain.
Ia menimbulkan kemarahan di London, yang menuduh Perancis lalai dalam tanggungjawabnya.
Bilangan pendatang yang cuba menyeberang terusan secara haram meningkat sejak akhir 2018 walaupun terdapat amaran oleh pihak berkuasa Perancis mengenai bahaya, lalu lintas maritim sibuk, perairan berais dan arus yang kuat.
Sejak 2018, pihak berkuasa Perancis mengesahkan 11 kematian dan tiga orang hilang. – AFP, 11 September, 2021.
Komen