Lantik speaker, timbalan speaker Parlimen rentas pasti


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berpandangan bahawa sekarang adalah waktu yang paling tepat untuk ahli Dewan Rakyat melantik Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua (TYDP) Dewan Rakyat dengan semangat rentas parti.

Jawatan-jawatan mulia ini tidak harus dilihat sebagai monopoli parti-parti dalam kerajaan, lebih-lebih lagi untuk menunjukkan kekuasaannya terhadap parti pembangkang yang juga sebahagian daripada Dewan Rakyat. 

Sebaliknya pelantikan Yang di-Pertua dan Timbalannya harus bersemangat rentas parti untuk memperkasakan Parlimen dan menjadikan Parlimen lebih bebas untuk menyemak dan mengimbang Eksekutif.

Setakat ini, dua nama wakil rakyat telah dicalonkan untuk dipilih sebagai TYDP. Pihak kerajaan (BN-PN-GPS) mencalonkan Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang merangkap Setiausaha Agung Umno, dan PH mencalonkan YB Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP. 

Bersih 2.0 ingin bertanya dan menggesa, sama ada Ahmad Maslan atau Nga Kor Ming bersedia untuk meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya mengambil cuti di dalam parti politik masing-masing jika dilantik menjadi TYDP kerana kedua-duanya memegang jawatan utama dalam parti mereka. 

Peletakan jawatan di dalam parti amat mustahak agar jawatan TYDP ini dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh kepartian, bersikap adil dan dapat menumpukan perhatian terhadap isu-isu di Dewan serta menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan parti.

Selain daripada bersikap adil, YDP dan TYDP juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti.

Satu isu yang membimbangkan dengan pencalonan Ahmad Maslan adalah berikutan kes beliau yang masih berjalan di mahkamah. 

Ahmad Maslan telah dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2021.

Adakah Umno dan pihak kerajaan yang mencadangkan Ahmad Maslan, sekiranya beliau dilantik menjadi TYDP dapat menjalankan tugasnya dengan penuh amanah serta berprinsip? 

Adakah kerajaan dapat menjamin jawatan penting itu tidak disalahgunakan untuk melepaskan diri daripada pendakwaan yang beliau hadapi? 

Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad Maslan menggunakan sidang Parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah beliau, yang sekaligus mencemarkan kesucian Parlimen.

Ahmad Maslan dan Nga Kor Ming juga perlu mengemukakan kerangka dan isu-isu reformasi parlimen yang akan mereka bawa sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sekiranya dipilih menjadi TYDP. 

Isu-isu ini perlu menjadi asas utama untuk ahli-ahli Dewan Rakyat memilih mereka dan agar rakyat secara keseluruhannya dapat menilai prestasi mereka sepanjang memegang jawatan tersebut.

Bersih 2.0 menegaskan bahawa pejabat YDP dan TYDP bukanlah penjaga pintu kepada Eksekutif untuk menahan usul atau rang undang-undang, atau menghadkan ucapan wakil rakyat terutamanya pembangkang. Jawatan tersebut perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu meraikan suara wakil rakyat yang terdiri daripada berbilang parti. 

Wakil-wakil rakyat yang berada di situ bertujuan membawa hasrat rakyat dan permasalahan polisi negara untuk dibahaskan serta diambil tindakan oleh Eksekutif.

Sebenarnya, persaingan antara Ahmad Maslan dan Nga Kor Ming juga mengingatkan rakyat mengapa usul-usul yang mencadangkan pengosongan kerusi Yang di-Pertua telah ditolak atas alasan teknikal sehingga Dewan Rakyat tidak boleh ada pilihan sama ada harus wujud Yang di-Pertua yang baru.

Sempena Ulang tahun Parlimen ke-62 hari ini, sudah tiba masanya negara kita bergerak seiring amalan negara yang demokrasinya lebih matang dan berdepan dengan realiti bahawa parlimen diisi oleh wakil rakyat daripada pelbagai latar belakang dan berbilang parti.

Kini parlimen bergantung kepada kepimpinan pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memastikan suara wakil rakyat didengari dan tidak dikesampingkan. – 11 September, 2021.

* Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen