SELURUH dunia perlu bangkit dan mengambil tindakan drastik memerangi pandemik Covid-19 dan perubahan iklim, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pandemik Covid-19 adalah wake-up call, kita sudah lama tidur,” kata setiausaha agungnya Antonio Guterres pada sidang media di New York semalam.
Menjelang Perhimpunan Agung PBB di bandar raya itu pada 21 September ini, Guterres turut kesal negara pengeluar vaksin masih tidak dapat meningkatkan pengeluaran untuk menepati sasaran 70% populasi dunia sudah lengkap divaksin pada separuh pertama 2022.
“Pandemik ini sudah menunjukkan kegagalan kolektif kita untuk membuat keputusan bersama demi kebaikan semua, walau ketika seluruh dunia kini dalam keadaan darurat yang mengancam nyawa,” kata Guterres.
Beliau dalam pada itu menolak gesaan untuk menangguhkan Sidang Kemuncak Iklim PBB atau COP26, yang akan berlangsung di Scotland pada November.
Aktivis iklim sebelum ini menggesa sidang tersebut ditunda kerana pandemik Covid-19 yang masih belum reda, selain ketidakadilan agihan vaksin dan masalah logistik dalam mengatur acara itu.
Guterres dalam pada itu menggesa Amerika Syarikat (AS) dan China sebagai negara yang paling banyak melakukan pencemaran perlu aktif memerangi perubahan iklim.
“Kami memerlukan kerjasama AS, misalnya pembiayaan pembangunan berkaitan iklim, mitigasi dan juga lebih banyak usaha dari China berkaitan isu pelepasan pencemaran,” katanya. – AFP, 11 September, 2021.
Komen