Malaysia belum boleh masuk fasa endemik Covid-19, kata Kit Siang


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 1 September umum negara dijangka akan beralih kepada fasa endemik Covid-19 bermula Oktober ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 September, 2021.

TERLALU awal untuk Malaysia memasuki fasa endemik Covid-19 melainkan jumlah kes harian kurang daripada 1,000, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu juga menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin supaya tidak terburu-buru umum negara dijangka akan beralih kepada fasa endemik Covid-19 bermula Oktober ini.

“Bagaimana kita boleh mendakwa pandemik Covid-19 sudah berakhir sedangkan kita masih antara 10 negara teratas jumlah kes harian dan kematian tertinggi di dunia.

“Terlalu awal bagi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengatakan penularan Covid-19 akan jadi endemik pada hujung Oktober sedangkan kadar kematian akibat Covid-19 masih tinggi walaupun kadar vaksinasi tinggi,” kata Lim dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan kerajaan perlu mencari keseimbangan yang tepat bagi memastikan rakyat dapat meneruskan hidup bersama virus Covid-19.

Tambahnya, walau vaksin Covid-19 mampu mengurangkan gejala serius, namun ia masih tidak dapat mengelakkan jangkitan dan kes kematian membabitkan varian membimbangkan seperti Delta.

“Vaksin melindungi tetapi tidak sempurna,” katanya.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 21,176 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,940,950, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini 242,161 kes.

Sebanyak 341 kematian turut direkodkan, menjadikan kumulatif kematian seramai 19,827 orang. Manakala seramai 1,310 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 773 perlukan bantuan alat pernafasan.

Pada 1 September lalu, Khairy berkata Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19 pada Oktober.  Peralihan fasa itu katanya selepas sekurang-kurangnya 80% populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin bulan depan.

Setakat semalam, 72% daripada atau 16.8 juta individu dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya berkata kira-kira 99.9% atau 6.15 juta populasi dewasa di Lembah Klang sudah diberi dua dos vaksin.

Ini diikuti Labuan dengan 95.9% atau 65.669 populasi dewasa lengkap dua dos, manakala Sarawak 88.1% atau 1.79 juta orang.

Sabah kekal satu-satunya negeri dengan kadar vaksinasi bawah 50% dengan hanya 48.6% atau 1.34 juta populasi dewasa yang divaksin sepenuhnya.  – 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen