Israel tangkap 2 daripada 6 tahanan lolos penjara


Pasukan keselamatan khas Israel menggeledah masjid di perkampungan Arab Sandala berhampiran di utara Israel semalam dalam operasi mencari enam tahanan yang meloloskan diri dari penjara. – Gambar EPA, 11 September, 2021.

POLIS Israel mengesahkan dua daripada enam tahanan Palestin yang meloloskan diri dari penjara keselamatan tinggi minggu ini sudah ditahan semalam.

“Polis di zon utara menangkap dua tahanan yang melarikan diri di bandar Nazareth,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Mereka kemudian menamakan keduanya sebagai Yaqoub Qadri, 48, dan Mahmoud Abdullah Ardah, 45, yang kedu-duanya merupakan Jihad Islam.

Menurut laporan media tempatan dan wilayah, Ardah adalah dalang di sebalik pelarian itu.

Media Israel berkata, polis diberitahu oleh penduduk tempatan yang melaporkan melihat dua lelaki mencari tong sampah bagi mendapatkan makanan.

Israel melancarkan operasi mencari enam tahanan yang meloloskan diri dari penjara Gilboa melalui terowong yang digali di bawah tanah di dalam sel penjara.

Tentera Israel mengerahkan pasukannya ke Tebing Barat yang diletakkan di bawah penutupan secara besar-besaran dengan lokasi tumpuan ialah di Jenin iaitu kediaman bagi pelarian, Zakaria Zubeidi.

Pihak berkuasa Israel berkata, enam indibidu yang berjaya melarikan diri itu ialah ahli kumpulan bersenjata Palestin yang merancang melancarkan serangan terhadap Israel. – AFP, 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen