Pele masih di ICU namun semakin pulih, kata doktor


Legenda bola sepak Brazil Pele masih dirawat di ICU selepas menjalani pembedahan barah usus pada 7 September. – Gambar fail AFP, 11 September, 2021.

LEGENDA bola sepak Brazil Pele masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan barah usus namun semakin pulih, kata doktor yang merawatnya.

Doktor pakar di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo dalam satu kenyataan semalam berkata Pele  menunjukkan tanda-tanda positif.

Perkembangan terbaharu itu juga dimaklumkan sendiri Pele, 80, kepada peminatnya menerusi Instagram.

“Semakin hari keadaan saya bertambah baik. Saya tidak sabar untuk bermain semula, tetapi saya akan pulih untuk beberapa hari lagi.

“Ketika berada di sini, saya mengambil peluang untuk berbual dengan keluarga dan berehat. Terima kasih atas kasih sayang anda. Kita akan bertemu semula nanti!” tulisnya.

Menurut pihak hospital, Pele dikesan menghidap barah semasa menjalani ujian rutin sejak 31 Ogos lalu.

Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan sering dirawat di hospital.

Pele melonjak ke pentas antarabangsa pada usia 17 tahun dengan gol yang menakjubkan, termasuk dua di final menentang tuan rumah Sweden, ketika Brazil buat pertama kalinya menang Piala Dunia pada 1958.

Beliau satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak yang menang tiga Piala Dunia (1958, 1962 and 1970).

Digelar “O Rei” atau “Raja”, Pele antara ahli sukan paling terkenal dalam sejarah dan menjaringkan lebih 1,000 gol sebelum bersara pada 1977. – AFP, 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen