JUTAWAN Maghribi Aziz Akhannouch dilantik sebagai perdana menteri baharu, susulan kemenangan parti Himpunan Calon Bebas Nasional (RNI) pada pilihan raya pada Rabu.
Pelantikan Aziz diumum Raja Maghribi Raja Mohamed VI menerusi kenyataan istana semalam.
Pada pilihan raya tiga hari lalu, RNI menang 102 daripada 395 kerusi Parlimen, menewaskan Parti Keadilan dan Pembangunan Islam (PJD) yang memerintah selama lebih sedekad.
Kementerian Dalam Negeri ketika mengumumkan keputusan selepas proses pengundian berakhir memaklumkan PJD hanya menang 13 kerusi.
Aziz memimpin RNI sejak 2016, parti yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan istana. RNI sebahagian daripada semua gabungan parti pemerintah sejak 23 tahun lalu, kecuali antara 2012 dan 2013.
Ahli perniagaan jutawan itu menyifatkan kemenangan RNI adalah kemenangan untuk demokrasi.
Pada pilihan raya kali ini juga buat pertama kalinya 18 juta pengundi memilih wakil rakyat, wakil perbandaran dan wilayah pada hari yang sama. AFP, 11 September, 2021.
Komen