Program vaksinasi industri lambat, leceh, kata pemimpin perniagaan


Bernard Saw

Pemimpin perniagaan berkata program PIKAS yang dikendalikan oleh Miti banyak membuang masa kerana proses kelulusannya yang lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2021.

PARA pemimpin perniagaan dan dewan perdagangan mengeluh Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bergerak perlahan sedangkan Putrajaya berharap ia akan selesai hujung bulan ini.

Walaupun sekitar 98% daripada 900,000 pekerja sektor pembuatan yang berdaftar di bawah PIKAS telah dapat sekurangnya satu dos vaksin Covid-19, namun bos dan pekerja tidak sabar untuk lengkapkan vaksinasi ketika ini, tambahan dengan adanya varian Delta yang lebih cepat menular.

PIKAS, yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), mempunyai proses kelulusan yang lama, kata Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Siong.

Masalah bekalan vaksin turut melambatkan penantian mereka, malah ada kalanya pekerja yang berdaftar akhirnya mendapat suntikan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) atau dari hospital swasta dengan tanggungan syarikat mereka, tambahnya.

Chin berkata persatuan telah menyerahkan senarai 10,000 orang kepada Miti untuk divaksinasi di bawah PIKAS, yang dilancarkan pada Jun. Ada yang tidak dapat sebarang kemas kini walaupun selepas sebulan, dan oleh itu ramai terpaksa dapatkan suntikan pertama mereka di tempat lain.

“Miti minta kami bagi maklumat mengenai 10,000 pekerja, tetapi selepas sebulan baru dapat kelulusan. Dalam tempoh itu ramai pekerja sudah dapat suntikan pertama mereka.”

Beliau berkata kelewatan seperti itu menjadi penghalang kepada syarikat yang merasakan program itu buang masa.

Chin berkata, lebih afdal jika suntikan pertama diberikan paling awal dalam tempoh dua minggu dari tarikh permohonan.

Bagaimanapun pegawai kementerian menjawab ianya sukar kerana ada isu bekalan vaksin.

Chin berkata, ahli persatuan di luar Selangor merasa sukar untuk mengatur vaksinasi bergerak di lokasi kilang masing-masing di bawah PIKAS. Program ini menawarkan pilihan untuk menghantar pekerja ke pusat pemberian vaksin (PPV), atau terima vaksinasi di lokasi kilang dengan syarat minimum 1,000 pekerja.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Jerantut Natalie Lim berkata satu-satunya PPV PICK untuk seluruh Pahang terletak di Kuantan.

Ini menyusahkan pekerja industri yang berada lebih jauh di negeri terbesar di Semenanjung ini, contohnya seperti mereka yang berada di Bentong. Selain mengambil masa perjalanan selama dua jam, ada sekatan jalan raya oleh polis kerana sekatan pergerakan ketika itu, selain ada had jumlah orang dalam kenderaan.

Akhirnya, Miti menuruti keluhan Lim dan menghantar pasukan vaksinasi ke Jerantut.

Lim juga menekankan kurangnya penyelarasan antara PIKAS dan prosedur operasi standard (SOP) negara mengenai jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja di lokasi berdasarkan kadar vaksinasi syarikat.

Ketika SOP dikeluarkan - misalnya, jika 80% pekerja kilang diberi vaksin, maka kapasiti tenaga kerja di lokasi boleh sampai 100% - Lim berkata beberapa majikan bergegas menghantar pekerjanya untuk mendapatkan vaksin di klinik dan hospital swasta dengan tanggungan mereka sendiri.

“Ketika PIKAS beri tarikh vaksinasi, sudah ramai pekerja yang sudah dapat suntikan mereka di tempat lain,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Chin masalah bekalan vaksin adalah antara puncanya, berkata PIKAS telah meluluskan permohonan dewan perdagangan Jerantut pada awal Ogos, tetapi memberitahunya tidak ada bekalan vaksin untuk ketika itu.

Perkara ini berlanjutan sehinggalah awal bulan ini selepas pemohon yang dikendalikan dewannya telah mendapat suntikan mereka, katanya.

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu Low Wan Cheong berkata, beliau berusaha mengumpulkan pekerja dari pelbagai industri kecil di seluruh negeri bagi memenuhi syarat minimum 1,000 pekerja bagi mendapatkan vaksinasi di bawah PIKAS.

Namun beliau berkata ia bergerak perlahan, dan oleh itu beliau menggesa majikannya untuk pergi ke PPV di bawah PICK. – 11 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen