Kematian akibat Covid-19 hampir cecah 20,000 orang, kat KP kesihatan


Noel Achariam

Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kini mencecah 19,827 sejak bermulanya wabak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

KES kematian akibat Covid-19 di Malaysia hampir mencecah 20,000 orang dengan 341 kematian dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini jumlah kematian adalah 19,827 sejak bermulanya wabak.

Jumlah pesakit berkaitan Covid-19 yang mendapat rawatan rapi juga meningkat pada hari ini, dengan 1,310 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, 935 disahkan kes Covid-19, sementara 375 kes disyaki dan dalam siasatan, kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata terdapat 773 kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah tersebut, 455 kes positif Covid-19, sementara 318 kes disyaki dan kes dalam siasatan.

Sementara itu, kes aktif sebanyak 242,161 selepas 21,476 pemulihan dicatatkan berbanding 21,176 jangkitan baharu hari ini.

Sebilangan besar kes baharu hari ini, 20,838 berada dalam Kategori 1 tanpa gejala dan Kategori 2 dengan gejala ringan.

Pada peringkat jangkitan lebih serius, 338 kes adalah dalam Kategori 3, 4, dan 5.

Mengenai kluster jangkitan, sebanyak 37 dilaporkan hari ini, dengan 30 melibatkan tempat kerja, 5 kluster dalam komuniti dan 2 melibatkan kumpulan berisiko tinggi. – 10 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen