Perdagangan runcit Malaysia merosot 14.7%, jualan kereta paling terjejas


Raevathi Supramaniam

Perdagangan borong dan runcit Malaysia merosot 14.7% kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, yang mana ia pertumbuhan negatif untuk bulan kedua berturut-turut tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia merosot 14.7% kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Pertumbuhan negatif untuk bulan kedua berturut-turut tahun ini disebabkan oleh sekatan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan, menurut jabatan itu.

Subsektor Kenderaan Bermotor paling terkesan apabila merosot -85.4 peratus diikuti oleh Perdagangan Runcit pada -8.1% dan Perdagangan Borong pada -1.1%.

Jabatan itu berkata, prestasi buruk Subsektor Kenderaan Bermotor disebabkan oleh penurunan Jualan Kenderaan Bermotor (-83.8%), Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor (-8.74%), Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (-88.7%) dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (-86.9%).

Bagaimanapun, Jualan Kenderaan Bermotor dari bulan ke bulan meningkat kepada 118.6% kerana bilik pameran kereta dan pusat penjualan dibuka semula di kawasan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kemerosotan perdagangan runcit disebabkan oleh penurunan Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan (-10.8%), Juala Runcit di Kedai Pengkhususan (-11.1%) dan Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan (14.1%).

Sementara itu, perdagangan borong mencatat jualan RM49.5 bilion untuk Julai 2021. Tetapi jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, pertumbuhan juga negatif pada -1.1 peratus.

Penurunan -1.1% disebabkan oleh penurunan -12.1% dalam Jualan Borong Barangan Isi Rumah dan pertumbuhan -12.1% dalam Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan. – 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen