Rina Harun perlu peka isu kes gangguan seksual


SAYA menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang menggesa mangsa gangguan seksual  melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak perlu menunggu Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual.

Saya menggesa menteri dan pihak kementerian menyegerakan pembentangan RUU Gangguan Seksual di Parlimen untuk diluluskan dan dilaksanakan.  

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak menteri semalam adalah satu kenyataan yang tiada langsung sifat empati kepada setiap mangsa gangguan seksual di dalam negara ini. 

Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan menteri menunjukkan beliau tidak peka dan tidak faham disebabkan tiada undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dilakukan. 

Cadangan menteri yang tidak munasabah juga menunjukkan beliau sebenarnya tidak ada langsung mempunyai “political will” untuk meneruskan usaha yang dijalankan oleh menteri dan timbalan menteri KPWKM sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dalam isu RUU Gangguan Seksual dan pembelaan terhadap mangsa kes gangguan seksual.  

Gesaan agar RUU Gangguan Seksual ini dibentangkan di Parlimen sudah kedengaran sejak dari tahun lalu lagi. 

Namun mengapa menteri masih memberikan alasan RUU ini perlu mengambil masa untuk digubal sedangkan menteri sendiri menjawat jawatan menteri di KPWKM sebanyak 2 kali? 

Adakah menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini? 

Peningkatan kes gangguan seksual sejak kebelakangan ini amatlah membimbangkan. Ia berlaku sama ada secara maya atau pun secara langsung dalam kehidupan kita. 

Ramai mangsa yang tidak mahu tampil membuat laporan kerana mereka berasa tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya. 

Oleh itu, pentingnya RUU Gangguan Seksual ini untuk dibentangkan dan diluluskan sesegera mungkin bagi memberikan jaminan kepada mangsa bahawa mereka mempunyai hak untuk melindungi dan dilindungi oleh peruntukan undang undang di dalam negara ini.  

Baru-baru ini saya menerima satu mesej lucah di laman Facebook rasmi saya.

Laporan polis sudah dibuat dan kes hanya boleh disiasat dengan menggunakan peruntukan Seksyen 509 KK iaitu “mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda” dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Tiada satu pun daripada peruntukan yang digunakan untuk menyiasat kes ini merujuk dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai satu jenayah gangguan seksual dan si pelaku tidak boleh didakwa apa lagi disabitkan kesalahan ke atas jenayah gangguan seksual yang dilakukannya. 

Ini contoh kes yang berlaku secara maya. Terdapat banyak lagi jenis gangguan seksual yang berlaku di dalam negara ini dan ia tidak hanya dialami oleh kaum wanita.  

Gangguan seksual secara lisan dan melalui sentuhan juga selalu berlaku terutamanya di tempat kerja dan perkara ini bukan perkara yang kecil untuk dilupakan atau diketepikan.

Setiap mangsa gangguan seksual terpaksa hidup dalam keadaan yang penuh trauma dan malang sekali tiada pembelaan sewajarnya kepada mereka. 

Saya meminta menteri lebih peka dengan isu di bawah pengawasan kementerian beliau sendiri dan berhenti memberikan alasan terhadap penangguhan pembentangan RUU Gangguan Seksual ini di Parlimen. 

Ia perlu dibentangkan dengan kadar yang segera demi menjamin keselamatan serta memberikan pembelaan dan pengadilan yang wajar kepada mangsa. 

Saya berharap menteri tidak lagi mengeluarkan kenyataan “tone deaf” dan tiada empati berkaitan dengan hal ini  dan segera lakukan tugas beliau dengan agresif demi golongan yang beliau wakili melalui kementerian beliau. – 10 September, 2021. 

* Young Syefura Othman, penolong setiausaha Wanita DAP Kebangsaan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen