Libatkan belia dalam pembangunan, pengurusan KL


SUDAH tiba masanya untuk pihak pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan majlis belia dan melantik individu berkelayakan bagi mengendalikan masalah-masalah belia di sekitar Kuala Lumpur.

Majlis seperti ini sudahpun ditubuhkan di kebanyakan negara maju dan anak-anak muda yang terlibat dalam majlis tersebut mempunyai penglibatan langsung di dalam perancangan lokaliti dan masyarakat.

Jikalau kita dapat melihat perbualan dan perbincangan di pelbagai platform media sosial kini, banyak idea bernas yang dilontarkan dan kebanyakan daripada idea ini adalah dari mereka yang berumur 30 dan ke bawah. 

Tambahan pula, idea yang diberikan kadang-kala bukan ciapan atau posting semata-mata, ada daripada mereka yang sudah pun menyediakan rangka tindakan, terutama sekali berkenaan isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar di ibu kota Kuala Lumpur.

Selain itu, dengan adanya majlis belia ini, golongan belia dapat menyertai dan memberi pandangan mereka dengan secara terus, terutama sekali berkaitan isu yang melibatkan golongan belia di Kuala Lumpur. 

Sekiranya kita lihat statistik yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan, hampir separuh penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada golongan belia, dan penubuhan majlis belia di bawah pentadbiran DBKL ini mencerminkan demografik berkenaan.

Di samping itu, kita juga mempunyai ramai aktivis yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kuala Lumpur yang layak menjadi sebahagian daripada majlis ini. 

Mereka ini sangat mahir dan arif dalam memahami keadaan dan permasalahan komuniti-komuniti di Kuala Lumpur.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) diterajui oleh golongan belia seperti Yayasan Chow Kit dan Buku Jalanan Chow Kit yang banyak berbakti kepada komuniti-komuniti memerlukan di Kuala Lumpur. 

Pandangan mereka pasti akan membantu menjadikan Kuala Lumpur bandar yang maju.

Sudah tiba masanya golongan belia diberikan ruang dan peluang dalam menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebuah negeri yang maju ke hadapan! – 10 September, 2021. 

* Lim Lip Eng, ahli Parlimen Kepong.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen