SEORANG anggota bomba terbunuh semalam selepas bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di selatan Sepanyol.
Kerajaan Wilayah Andalusia dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 44 tahun itu antara 400 anggota bomba yang memadamkan api yang merebak pada Rabu malam di pergunungan Sierra Bermeja di wilayah selatan Malaga.
Menteri Alam Sekitar Andalusia, Carmen Crespo berkata kebakaran itu amat rumit dan sukar.
“Ia sangat berbahaya,” katanya pada sidang media.
Operasi memadam kebakaran itu turut dibantu 29 pesawat yang menggugurkan air dari udara pada sebelah siang.
Kerajaan wilayah berkata kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan dari rumah mereka – terutama dari kota Estenepona, sebuah kawasan yang terkenal dengan pesara dan pelancong dari Britain.
Anggota bomba berkata, angin kencang mencecah kelajuan 60 kilometer sejam bersama keadaan cuaca panas dan kering serta cerun gunung yang curam menyukarkan lagi usaha memadamkan kebakaran.
Perdana Menteri Pedro Sanchez mengucapkan takziah di Twitter kepada keluarga dan rakan-rakan anggota bomba yang terkorban.
“Komitmen, dedikasi dan keberanian petugas memadamkan kebakaran hutan harus dipuji,” tambahnya.
Pegawai tempatan mengesyaki kebakaran mungkin sengaja dimulakan. – AFP, 10 September, 2021.
Komen