MURID 12 tahun ke atas di sekolah kerajaan di Los Angeles diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 mulai tahun depan, kata sebuah lembaga pendidikan semalam.
Keputusan sebulat suara Los Angeles Unified School District (LAUSD), lembaga pendidikan kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu, dibuat susulan lonjakan kes membabitkan varian Delta yang mudah merebak.
Arahan itu juga selepas Presiden AS Joe Biden mengumumkan peraturan baharu bagi mengekang penularan Covid-19, antaranya mewajibkan syarikat yang mempunyai 100 atau lebih pekerja memastikan semua kakitangan divaksin atau menjalani ujian saringan setiap minggu.
Selain itu, semua penjawat awam juga yang berstatus kontrak mesti mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Kira-kira 600,000 murid bersekolah di sekolah-sekolah bawah seliaan LAUSD.
“Vaksin adalah selamat, berkesan dan cara terbaik untuk melindungi pelajar dari virus.
“Kami akan memastikan semua ibu bapa mendapat maklumat perubatan yang sahih dalam tempoh beberapa minggu,” tulis Presiden LAUSD Kelly Gonez di Twitter.
Los Angeles sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka ke atas kanak-kanak sama ada di dalam atau luar kawasan sekolah. Semua kakitangan sekolah juga diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Dengan peraturan baharu vaksin itu, murid perlu menerima dos pertama pada 21 November, manakala kesemua mereka dijangka lengkap menerima dua dos menjelang 10 Januari depan.
Bagi murid yang berusia 12 tahun pada Januari tahun depan, mereka diberi tempoh 30 hari untuk mengambil suntikan.
Pihak berkuasa tempatan berkata setakat ini sekitar 58% kanak-kanak 12 hingga 18 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
LAUSD berkata keputusan dibuat berikutan pakar-pakar kesihatan menegaskan pemberian vaksin untuk kanak-kanak umur 12 tahun ke atas adalah selamat sekali gus dapat mengurangkan risiko daripada jangkitan wabak. – AFP, 10 September, 2021.
Komen