Lelaki Austria sorok mayat ibu, tuntut pencen


MAYAT seorang wanita 80 tahun yang diawet oleh anaknya ditemui tersorok atas loteng sebuah rumah, kata polis Austria semalam.

Wanita yang dipercayai menghidap demensia itu meninggal dunia Jun tahun lalu, menurut kenyataan polis.

Polis berkata suspek berusia 66 tahun itu mengawet mayat wanita ibunya supaya dapat terus menerima wang pencen mendiang. 

Lelaki itu tinggal bersama ibunya di Innsbruck di Tyrol, Austria. Dia mengaku membeku mayat ibunya dengan ais terlebih dahulu sebaik sahaja wanita itu meninggal dunia untuk mengelakkan bau, kata polis.

“Suspek melumur mayat ibunya dengan pasir kucing, kemudian membalutnya,” kata Helmut Gufler, pegawai dari unit penipuan kepada stesen penyiar tempatan ORF.

Gufler berkata tembelang suspek terbongkar apabila seorang posmen baharu meminta untuk berjumpa ibunya berkenaan wang pencen. Wang pencen kebiasaannya dipos setiap bulan.

Posmen berkenaan membuat aduan kepada pihak atasan selepas suspek tidak membenarkannya bertemu wanita tersebut. Mayat wanita itu ditemukan pada Sabtu lalu.

Polis berkata suspek menerima 50,000 euros (AS$59,000) wang pencen ibunya sejak Jun tahun lalu.

Hasil bedah siasat mendapati wanita itu mati dibunuh. Selain membunuh, suspek juga dituduh menipu dan menyembunyikan mayat. – AFP, 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen