Beranikan diri mencuba, kata pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo


Ragananthini Vethasalam Syazwana Amir

Cheah Liek Hou merangkul pingat emas acara badminton perseorangan lelaki kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – Gambar Twitter, 10 September, 2021.

BERANIKAN diri dan jangan putus asa dari sukan merupakan kata semangat oleh pemenang pingat emas paralimpik Cheah Liek Hou kepada komuniti kurang upaya.

Cheah melakar sejarah dalam temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bukan sahaja merangkul pingat emas buat Malaysia malah menjadi paralimpik pertama memenangi pingat emas acara badminton para perseorangan SU5 (kemerosotan anggota badan atas).

Badminton para dimasukkan dalam pertandingan sukan untuk pertama kalinya dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pemain berusia 33 tahun dari Kuala Lumpur itu mengalahkan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrismusthi dengan mata 21-17 dan 21-15 dalam final perseorangan badminton lelaki untuk membawa pulang emas.

Dalam wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insight, Cheah memberi kata semangat kepada mereka yang berbeza fizikal supaya tidak malu dan aktif dalam sukan yang mereka minati.

“Tidak ada salahnya cuba apa sahaja sukan yang anda suka. Cubalah melangkah keluar dan berusaha walaupun anda cacat,” katanya.

“Mungkin ini akan jadi hobi atau sukan kegemaran anda atau siapa tahu anda akan jadi juara selepas itu.

“Inilah yang saya cuba sampaikan kepada semua orang kurang upaya. Tidak ada salahnya cuba dulu. Jangan malu.”

Beliau berkata, dengan keluar bersukan, mereka juga dapat berkenalan dengan mereka yang dapat membimbing mereka pergi lebih jauh.

Beliau berharap ada generasi pemain badminton akan datang yang akan menggantikannya sebelum beliau bersara.

“Saya sangat berharap dalam beberapa tahun ini akan ada pengganti saya sendiri seperti bagaimana mereka ada Lee Zii Jia selepas Dato’ Wira (Lee Chong Wei) bersara,” kata Cheah.

Cheah, bagaimanapun, belum bersedia menggantung raketnya, berharap dapat bertanding di pertandingan paralimpik seterusnya di Paris, Perancis pada 2024.

Berkahwin dengan rakyat Indonesia Dewi Febriana Tan, Cheah dilahirkan dengan Erb’s Palsy, satu bentuk lumpuh di lengan kerana kecederaan saraf disebabkan semasa dalam kandungan ibu. Ini mengakibatkan beliau tidak dapat mengangkat lengannya melepasi bahu.

Bekas eksekutif pemasaran dan alumni Universiti Putra Malaysia itu pernah menjalani latihan di bawah bekas jaguh badminton, Rashid Sidek dan telah bermain untuk kedua-dua kategori badan-penuh dan para.

Cheah Liek Hou berharap ada generasi pemain badminton baharu yang akan menggantikannya sebelum beliau bersara. – Gambar Facebook, 10 September, 2021.

Bagaimana ia bermula

Cheah pilih badminton pada usia sembilan tahun sebagai sebahagian daripada aktiviti korikulum di sekolah.

Mengenal pasti potensinya, ibu bapa Cheah kemudian menghantarnya berlatih secara profesional. Pada usia 15 tahun, beliau menyertai badminton para dan sebelum itu beliau pernah mewakili Kuala Lumpur dalam kategori badan-penuh.

“Saya bermain dalam kategori badan-penuh hingga usia 21 tahun. Pada usia 15 tahun saya bermain untuk para dan penuh,” katanya.

Cheah berkata beliau hampir menyerah pada sukan badminton kerana sukan itu bukan sebahagian daripada paralimpik. Beliau sudah mempunyai beberapa gelaran Kejuaraan Dunia.

“Sebelum ini saya tidak dapat lihat masa depan dalam sukan badminton kerana tiada dalam paralimpik dan gelaran tertinggi dalam sukan badminton adalah Kejuaraan Dunia dan saya rangkul enam kali,” katanya.

Beliau juga membawa pulang emas sebanyak tiga kali dalam Para Asia dan Temasya Asean Para sebanyak lima kali dalam kategori perseorangan.

Namun, berita mengenai kemasukan badminton para dalam paralimpik memberinya harapan baharu untuk kembali ke gelanggang.

Sebelum itu, beliau memberi komitmen kepada kerja sepenuh masanya.

Tetapi selepas mendapat tahu badminton para akan dimasukkan dalam Sukan Tokyo, beliau pilih untuk kembali.

“Saya kembali tetapi pada masa itu saya rasa berat hati. Berat badan saya naik, susah untuk saya pulihkan bentuk badan,” kata Cheah, menambah beliau banyak berusaha kembali mendapatkan bentuk badan yang sesuai.

“Kerajaan senaraikan saya sebagai salah satu calon pemenang pingat emas.”

Rakan-rakannya dan pemain lain memberi inspirasi dan motivasi kepadanya supaya tidak menyerah.

Cheah percaya edisi paralimpik baru-baru ini mungkin telah memberi banyak kesedaran buat orang ramai.

“Sebelum ini, ramai orang tidak tahu apa itu paralimpik dan apa itu sukan para. Tetapi selepas Sukan Tokyo saya dapat rasa lebih ramai orang kenal sukan ini,” katanya.

Katanya pemain paralimpik termasuk dirinya telah membuktikan mereka boleh menang.

Dalam temasya Paralimpik Tokyo 2020, Malaysia menduduki tempat ke-39 dengan merangkul tiga pingat emas dan dua perak. – 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen