Pusat tuisyen, guru rugi teruk kerana pandemik


Raevathi Supramaniam

Kebanyakan pusat tuisyen beralih kepada kelas dalam talian susulan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

KEBANYAKAN pusat tuisyen rugi ribuan ringgit sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kata pemilik perniagaan.

Ada yang berjaya beralih kepada kelas dalam talian, malah ada juga yang menarik pelajar luar negeri, namun ada juga yang ditimpa nasib malang.

Walaupun Kementerian Pendidikan bercadang membuka semula sekolah pada Oktober di negeri Fasa 3 dan 4 dalam Pelan Pemulihan Negara, rata-rata pengendali pusat tuisyen sebaliknya berkata mereka tidak akan ikut kelas secara bersemuka malah akan teruskan kelas dalam talian.

Afifa Daud, pemilik Pusat Tuisyen Efektif Minda Wawasan di Taman Permata di Hulu Klang, Selangor terpaksa gulung tikar selepas tujuh tahun beroperasi kerana rugi teruk.

Afifa telah berusaha bertahan selama mungkin dengan memanfaatkan simpanannya, namun akhirnya tewas kerana tidak lagi dapat menampung sewa.

“Kami masih tutup sejak perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) pada Mac tahun lalu.

“Walaupun tidak dapat buka, saya terus bayar sewa premis untuk sampai Ogos ini, sampailah saya tak mampu lagi tampung.

“Saya telah rugi kira-kira RM60,000 simpanan hanya untuk sewa selama 17 bulan yang lalu,” katanya.

Walaupun dulu beliau mempunyai 15 guru dengan lebih kurang 100 pelajar, kini beliau cuma menggaji empat guru dengan 20 pelajar sahaja.

“Selepas PKP 1.0, kami hilang lebih kurang 20% pelajar. Sejak itu, kami terus hilang lebih kurang 5% pelajar setiap bulan. “

Walaupun beliau bertukar kepada kelas dalam talian, Afifa berkata kebanyakan ibu bapa tidak berminat untuk hantar anak mereka mengikuti kelas dalam talian.

“Kami tidak boleh buat kelas secara bersemuka. Pelajar tidak mahu belajar dalam talian. Ibu bapa cakap mereka akan kembali selepas kami buka semula.

“Tetapi dengan virus ini, ibu bapa mungkin tidak mahu hantar anak mereka ke sekolah apatah lagi ke pusat tuisyen,” tambahnya.

Pusat Tuisyen Efektif Minda Wawasan di Taman Permata di Hulu Klang, Selangor terpaksa gulung tikar selepas tujuh tahun beroperasi kerana rugi teruk akibat pandemik.– Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

Kelas dalam talian tarik pelajar seluruh negara

Mohd Azman Mohd Nor yang beralih kepada kelas dalam talian telah berjaya menarik minat pelajar dari luar negeri.

Selepas lebih 10 tahun, Azman yang mengendalikan Pusat Tuisyen Alfa Pintar di Banting, Selangor memutuskan untuk menutup dua pusatnya kerana pandemik Covid-19.

“Kami tutup pusat kami di Olak Lempit, Banting pada 2020, dan pada Jun tahun ini kami tutup satu lagi pusat di Sungai Mas, juga di Banting,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya juga jual unit penyaman udara. Saya sekarang fikir untuk jual semua meja dan kerusi pula. “

Azman memulakan Pusat Tuisyen Alfa Pintar pada 2009. Pada puncaknya, beliau berkata beliau ada 400 pelajar di kedua-dua pusat itu, menjana sekitar RM15,000 sebulan sebelum pandemik.

“Pada 2020, kami tidak buat banyak kelas dalam talian, berfikir kami dapat bertahan. Mulai tahun ini, kami telah perbaiki mutu pemasaran kami dan kini ada sekitar 200 pelajar di seluruh negara. “

Sejak beralih kepada kelas dalam talian, Azman berkata pelajarnya sekarang tidak terhad kepada mereka yang tinggal di Banting. Sebagai gantinya, beliau kini ada pelajar dari Sabah, Sarawak dan juga Pantai Timur.

Walaupun dulu beliau ada sekitar tujuh guru, kini Azman sendiri yang mengajar semua.

“Sekarang cuma saya seorang saja yang mengajar. Kadang-kadang isteri saya tolong,” katanya, menambah guru lain tidak bersedia melabur untuk peranti bagi membantu kelas dalam talian kerana kos tinggi.

Walaupun Kementerian Pendidikan telah umum sekolah akan dibuka semula bulan depan, Azman berkata beliau tidak ada rancangan untuk buka semula pusat tuisyennya.

“SOP yang dikenakan kepada kami sama macam yang dikenakan di sekolah. Kami tidak ada tenaga kerja yang cukup untuk itu.

“Kami juga perlu sanitasi pusat secara berkala dan mengehadkan jumlah pelajar dalam kelas.

“Semua ini perlukan kos dan kita mungkin perlu naikkan yuran, yang mungkin tidak mampu ditampung oleh banyak ibu bapa. Jadi demi keselamatan dan untuk jimat kos, saya akan teruskan kelas dalam talian, ”tambahnya.

Pelajar Pusat Tuisyen Alfa Pintar di Banting, Selangor kini mempunyai pelajar dari Sabah, Sarawak dan Pantai Timur sejak beralih kepada kelas dalam talian.– Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

Menyambung pelajaran secara bersemuka

Shameena Nathan, pengajar swasta bebas yang mengajar di Lembah Klang berkata beliau juga telah berusaha bertahan untuk kekalkan pelajar sejak pandemik tahun lalu.

Nathan, yang telah mengajar selama 15 tahun berkata kebanyakan ibu bapa tidak berminat dengan kelas tuisyen dalam talian.

“Susah. Pelajar kurang sebenarnya. Saya hilang ramai murid sebab ibu bapa tidak berminat dengan kelas dalam talian.

“Kelas dalam talian saya kebanyakannya untuk pelajar menengah kerana mereka dapat tumpu perhatian dan faham dengan lebih baik semasa kelas dalam talian,” katanya.

Sebelum pandemik, kata Nathan, beliau ada sekitar 10 hingga 15 pelajar namun jumlah itu kurang kepada cuma lima pelajar ketika pandemik.

Nathan yang mengajar di rumah pelajarnya berkata khidmatnya mendapat respons baik selepas ramai orang sudah divaksinasi.

“Cuma sekarang selepas ramai sudah divaksinasi, barulah ramai ibu bapa berminat dengan kelas tuisyen secara bersemuka”

Bagaimanapun beliau mengakui, sejak pandemik, pendapatannya menurun hampir 50%. – 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen