Protes di Kabul dibatal selepas Taliban larang


Seorang wanita Afghanistan dilihat dalam satu tunjuk perasaan anti-Pakistan awal minggu ini, sebelum disuraikan Taliban yang berkata permit kementerian keadilan diperlukan jika ingin mengadakan demonstrasi. – Gambar AFP, 9 September, 2021.

PENGANJUR tunjuk perasaan membatalkan protes di Kabul pada Khamis setelah Taliban melarang demonstrasi kerana tiada permit, memberi amaran tindakan undang-undang akan dikenakan.

Awal minggu ini pasukan bersenjata menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di bandar-bandar di seluruh Afghanistan, termasuk di ibu kota Kabul, Faizabad di timur laut dan di Herat di barat, di mana dua orang maut ditembak.

Pada Rabu, Taliban berkata permit kementerian keadilan diperlukan bagi mengadakan protes, menambah buat masa ini demonstrasi tidak dibenarkan.

Menurut wartawan AFP, terdapat ramai pasukan Taliban di jalan-jalan di Kabul pada pagi Khamis ketika pasukan bersenjata mengawal jalan dan sekatan jalan raya.

Penganjur tunjuk perasaan di luar kedutaan Pakistan memberitahu AFP pada Khamis ianya dibatalkan kerana larangan.

Di lokasi tunjuk perasaan lain yang dirancang di bandar, tidak ada tanda-tanda demonstrasi. – AFP, 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen