PENGGERA asap dibunyikan pada Khamis di segmen Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) milik Rusia malah angkasawan turut terbau kesan bakar, kata Roscosmos dan Nasa.
Insiden itu merupakan yang terbaharu dalam rentetan masalah keselamatan keadaan dalam segmen ISS milik Rusia itu.
“Pengesan asap berbunyi dalam modul Zvezda segmen Rusia semasa proses mengecas bateri automatik,” kata Roscosmos dalam satu kenyataan.
Angkasawan Perancis Thomas Pesquet berkata “bau seperti plastik atau elektronik yang terbakar” melayang ke segmen stesen Amerika Syarikat, lapor agensi berita negara RIA Novosti, memetik Nasa.
Justeru kru Rusia menghidupkan penapis dan setelah udara dibersihkan, angkasawan kembali tidur, kata Roscosmos.
Bagaimanapun, Roscosmos berkata rancangan untuk berjalan keluar ke ruang angkasa akan terus dibuat seperti yang dijadualkan.
Oleg Novitsky dan Pyotr Dubrov dari Rusia dijadualkan meninggalkan stesen itu untuk meneruskan kerja modul sains Nauka yang berlabuh pada Julai.
“Semua sistem beroperasi seperti biasa,” kata Roscosmos.
Segmen Rusia dalam ISS baru-baru ini mengalami beberapa masalah dan pada bulan lepas seorang pegawai angkasa memberi amaran perisian yang sudah usang boleh menyebabkan kegagalan yang tidak dapat diperbaiki.
Modul perkhidmatan Zvezda, yang merupakan sebahagian daripada segmen Rusia, telah mengalami beberapa kebocoran udara, termasuk pada awal tahun ini dan pada 2019.
Memetik kebimbangan yang berpunca dari perkakasan yang sudah lapuk, Rusia sebelum ini berkata ia merancang untuk tinggalkan ISS selepas tahun 2025 dan melancarkan stesen orbitnya sendiri.
Pada Julai, seluruh ISS condong keluar dari orbit setelah modul Nauka kembali beroperasi beberapa jam selepas berlabuh. – AFP, 9 September, 2021.
Komen