Rampasan kuasa, keahlian Guinea dalam Ecowas digantung


Pada Ahad, Mamady Doumbouya, seorang leftenan kolonel, umum rampasan kuasa dan menahan Presiden Guinea Alpha Conde dan membubarkan kerajaan dan institusi negara. – Gambar EPA, 9 September, 2021.

KOMUNITI Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (Ecowas) menggantung keahlian Guinea, yang dicengkam rampasan kuasa tentera, menurut satu kenyataan dikeluarkan Ecowas.

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat maya pertubuhan itu, yang diadakan Pengerusi Ecowas Nana Addo Dankwa Akufo-Addo, untuk membincangkan perkembangan politik di Guinea, lapor Xinhua.

“Pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan politik di Republik Guinea setelah kudeta pada 5 September dan kesannya terhadap keamanan dan kestabilan wilayah,” kata kenyataan itu.

Blok wilayah berkenaan menuntut pemulihan segera kerajaan awam di Guinea, sambil menambah bahawa “tentera dan anggota keselamatan sepatutnya mempertahankan perlembagaan”.

Ecowas turut mengulangi pendirian tegasnya tidak menyokong sebarang perubahan politik tanpa mematuhi  berperlembagaan.

Misi Ecowas yang diketuai Menteri Luar Ghana Shirley Ayorkor Botchwey dengan perwakilan dari Nigeria, Burkina Faso dan Suruhanjaya Ecowas akan melawat Guinea pada Khamis.

Pada Ahad, Mamady Doumbouya, seorang leftenan kolonel, mengumumkan pasukannya menahan Presiden Guinea Alpha Conde dan membubarkan kerajaan dan institusi negara. – Bernama, 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen