Shahidan enggan komen dakwaan ada kaitan kehilangan aktivis Amri Che Mat


Diyana Ibrahim

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim berkata beliau tidak mengenali Amri dan isterinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2018.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan isteri aktivis Amri Che Mat yang percaya kehilangan suaminya mempunyai kaitan dengannya dan Mufti Perlis Muhammad Asri Zainul Abidin.

“Saya enggan komen kerana saya tidak kenal lelaki itu dan isterinya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang dibuat oleh Norhayati Ariffin dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) hari ini.

Siasatan ini bagi menentukan sama ada kes kehilangan Amri adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa.

Dalam siasatan awam yang berlangsung hari ini, Norhayati memberitahu Suhakam Shahidan dan mufti Perlis itu sering kali mengecam badan amal suaminya iaitu Perlis Hope.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November, 2016.

Tambah Norhayati berkata pada 2015, kira-kira 20 pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis termasuk Asri dan polis datang menaiki 10 kereta menyerbu rumah mereka.

Sementara itu, Asri dalam laman Facebooknya sebentar tadi mengulas mengenai dakwaan isteri Amri terhadapnya.

Mufti itu membayangkan namanya dikaitkan oleh isteri Amri kerana tidak berpuas hati posting yang dimuat naik oleh Asri di laman sosial.

Dalam posting Facebooknya, beliau turut memuat naik tulisan lamanya mengenai pengaruh Syiah yang semakin meresap dalam Perlis.

“Perlis Hope merasakan saya sejak awal lagi tidak berpuas hati dengan aktiviti kebajikan mereka kerana tidak menunjukkan Maip bekerja.

“Benarkan begitu,” kata Asri di laman Facebooknya.

“Lihat posting saya yang barangkali Perlis Hope merasakan saya tidak berpuas hati dengan mereka. Baca dengan baik,” katanya merujuk kepada perkongsian kenyataan lamanya di Facebook.

Asri juga berkata beliau akan mengulas lebih lanjut dan terperinci mengenai dakwaannya kelak. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen