Beri peluang kepada Taliban, kata badan Muslim


Diyana Ibrahim Alfian Z.M. Tahir

Pengawal berkawal di depan bangunan bekas kedutaan AS di Kabul, Afghanistan, semalam. Di dindingnya tertera kalimah Lailahaillallah – tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. – Gambar EPA, 12 September, 2021.

MASYARAKAT dunia terutama negara Islam perlu memberi peluang kepada kerajaan Taliban, yang baru mengambil alih pentadbiran Afghanistan, kata beberapa badan Muslim.

Mereka berpendapat usaha membantu rakyat Afghanistan daripada kesan perang dan konflik yang panjang lebih utama daripada soal sokongan kepada kerajaan Taliban.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia perlu mengambil sikap yang lebih membina dan isu sokongan kepada kerajaan Taliban sepatutnya tidak timbul.

“Kita harus ambil sikap konstruktif… maknanya, perlu ada sikap untuk membantu Afghanistan sebagai sebuah negara, soal membantu atau sokong Taliban itu tidak timbul.

“Afghanistan sebagai sebuah negara Islam dan antara negara termiskin di dunia, sikap ini yang harus diambil.

“Kita kena fikir bagaimana nak membantu rakyat Afghanistan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelas Azmi, masyarakat dunia khususnya Malaysia sepatutnya bersimpati terhadap nasib rakyat Afghan yang juga sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis pandemik Covid-19.

Beliau mencadangkan Malaysia mengadakan hubungan awal dengan kerajaan Taliban dengan maksud untuk membantu rakyatnya dan bukan mengiktiraf Taliban.

“Negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagai negara Islam juga perlu membantu, jangan nak jadi seperti Amerika Syarikat (AS) yang cuba untuk memulau Afghanistan, kita jangan biarkan mereka ditindas,” katanya.

Semalam, Pakistan mempengerusikan mesyuarat enam negara jiran Afghanistan dan memutuskan antara lain keutamaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat Afghanistan. Mesyuarat disertai menteri luar negeri China, Iran, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Taliban sekarang sudah berubah dan lebih matang, serta berjaya mengalahkan tentera AS yang akhirnya terpaksa berundur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.

Minggu lepas Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata Malaysia mengambil sikap berhati-hati dalam menyatakan pendirian rasmi untuk mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan bawah pentadbiran Taliban.

Bagaimanapun, PAS terus menyambut baik dan memberi sokongan kepada pemerintahan Taliban.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata Taliban sekarang sudah berubah dan lebih matang, serta berjaya mencipta sejarah mengalahkan tentera AS yang akhirnya terpaksa berundur.

Menurut Azmi, Mapim mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan kerja pemulihan Malaysia-Afghanistan bagi meneliti perkembangan dan keadaan isu kemanusiaan di negara Asia Tengah itu.

Pasukan itu akan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan rakyat Afghanistan, katanya.

“Dari situ kita juga cadang untuk tubuhkan hubungan kumpulan pakar antara Malaysia dan Afghanistan seperti pakar ekonomi dan pendidikan. Kita boleh bincang dan mengutarakan idea bagaimana nak mula proses pembangunan semula Afghanistan,” katanya.

Dalam pada itu, Mapim juga akan menggerakkan delegasi khas ke Kabul dalam masa terdekat untuk memahami keadaan dengan lebih jelas.

Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos selepas melancarkan serangan ke atas beberapa wilayah dan bandar di serata Afghanistan sejak 1 Mei, susulan pengunduran tentera AS dan sekutunya.

Presiden Ashraf Ghani kemudian melarikan diri dan mendapatkan suaka politik di Emiriah Arab Bersatu sementara puluhan ribu rakyat Afghanistan menjadi pelarian ke negara jiran.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam Aminuddin Yahaya berkata pihaknya menyokong penuh kejayaan Taliban menguasai Afghanistan semula.

Aminuddin berkata Taliban mencapai kejayaan besar apabila bukan saja membebaskan Afghanistan daripada cengkaman kuasa AS dan sekutunya malah menyelamatkan rakyat daripada terus dipengaruhi pemikiran barat.

“Tentang dakwaan pendekatan mereka keras bagi saya itu perkara yang boleh dibincang. Saya difahamkan mereka pun ubah pendekatan. Bagi saya kita sepatutnya kena beri pengiktirafan kepada Taliban,” katanya.

Aminuddin berkata Taliban dapat memperbaiki imej apabila sedia ke meja rundingan.

“Pada masa sama kita bantu minta Taliban bawa konteks yang sederhana dalam pelaksanaan apa yang mereka faham,” katanya.

Jurucakap Taliban, Zabhiullah Mujahid pada sidang media kelmarin mengumumkan kerajaan sementara selepas mengambil alih Afghanistan, di Kabul dan isytihar negara itu sebagai Emiriyah Islam. – Gambar EPA, 9 September, 2021

Dalam pada itu, pakar keselamatan Dr Ahmad El Muhammady berpendapat Taliban kini komited mahu mencapai keamanan dan tidak akan mencari masalah.

Pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merujuk perjanjian damai yang ditandatangani dengan AS di Qatar pada Februari 2020.

Katanya, komitmen sama juga ditunjukkan sekali lagi oleh Taliban dua minggu lalu apabila memberi jaminan untuk melakukan pembaharuan dan menawarkan pengampunan kepada rakyat yang dulu bekerja dengan AS.

“Jelas Taliban versi ini tidak sama dengan Taliban 20 tahun lalu. Pertama, mereka tandatangan perjanjian damai dengan AS dan pendekatan mereka kepada rakyat juga berbeza,” kata Ahmad.

Jelasnya, banyak pihak terlepas pandangan akan pendekatan lembut yang diambil Taliban semasa menawan Kabul bulan lepas.

“Susah untuk orang faham ini Taliban yang baharu. Orang tidak akan percaya serta merta,” katanya.

Janji untuk melaksanakan pembaharuan serta hak wanita dan hak untuk pendidikan adalah antara perkara yang tidak ada pada Taliban dulu, katanya.

“Ini pun diakui jurucakapnya Abdul Qahar Balkhi yang berkata mereka sudah belajar daripada pengalaman lalu,” tambahnya.

Pelarian Afghanistan di Malaysia bagaimanapun lebih skeptikal terhadap Taliban.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini mereka menyuarakan kebimbangan masa depan negara di bawah Taliban dan risau kekejaman lama akan berulang.

Mereka juga bimbang nasib rakyat terutamanya wanita. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen