Pemandu bas ekspres terpaksa berhenti kerana PKP


Ragananthini Vethasalam Kalidevi Mogan Kumarappa

Sebahagian daripada bas yang diletakkan di depoh selepas tidak dapat beroperasi berikutan larangan rentas negeri di bawah perintah kawalan pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

SELEPAS perkhidmatan bas ekspres tidak dapat beroperasi dan tersadai di depoh selama beberapa bulan, hampir 80% pemandu terpaksa berhenti setelah lebih setahun hilang sumber pendapatan.

Bas ekspres tidak dapat beroperasi sejak larangan rentas negeri di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia (PMBOA) Mohamad Ashfar Ali menganggarkan hampir 80% daripada 3,000 pemandu dalam industri itu terpaksa berhenti sejak PKP pertama. Sebahagian daripada mereka katanya terpaksa beralih kepada pekerjaan lain untuk menjana pendapatan.

“Mereka tidak bawa bas sejak Mac tahun lalu. Jadi ramai pemandu yang berhenti kerja dan ada yang buka perniagaan sendiri,” katanya.

“Siapa yang sanggup tunggu tanpa buat apa-apa? Jadi semua sudah pergi ...ada yang jual nasi lemak, ada yang jual durian dan ada yang memandu lori atau melakukan pekerjaan lain.”

Mohon bantuan

PMBOA juga telah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Dalam surat kepada Wee bertarikh 28 Oktober 2020, persatuan berkenaan meminta lanjutan lima tahun Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) di bawah Industri Pengangkutan Awam Darat (Apad) yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2020.

Mereka juga meminta Putrajaya menghapuskan jumlah maksimum untuk dana di bawah skim ISBSF dan untuk menangguhkan pelaksanaan mesin tiket elektronik kerana syarikat bas tidak dapat memenuhi bayaran pemasangan sistem ini kerana masalah aliran tunai ditambah dengan kekurangan bekalan daripada penjual.

Dalam surat berikutnya bertarikh 7 April 2021, persatuan tersebut meminta geran khas untuk kelangsungan hidup pengendali bas.

Dalam suratnya kepada Zuraida bertarikh 8 September 2020, persatuan itu berkata industri mengalami kerugian selama beberapa dekad.

“PKP menandakan titik kemusnahan bagi industri bas,” katanya dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Jumlah penumpang menurun kepada sifar yang juga bermaksud pendapatan sifar bagi pengusaha bas tetapi mereka masih perlu membayar gaji dan kos operasi lain.

Selain gaji, pengusaha bas juga perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk diesel, penyelenggaraan dan alat ganti.

Mereka meminta bantuan dalam bentuk pengecualian sewa sementara untuk kaunter bas dan penangguhan pembayaran ansuran bagi kemudahan kewangan mereka kepada syarikat kredit.

Nasib sebuah syarikat bas terbesar

Selepas tidak menerima gaji sejak beberapa bulan, pemandu bas ekspres Transnasional, yang merupakan antara pemain industri terbesar terpaksa berhenti kerja.

Mereka berkata, mereka juga tidak tahu mengenai nasib syarikat berkenaan yang menanggung kerugian.

Bekas pemandu penyelia bas Transnasional yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, operasi dihentikan pada pertengahan Mac, 2020.

“Kami tidak tahu nasib pemandu lain dan operasi syarikat.

“Pihak pengurusan mengatakan ada ‘Datuk’ baharu yang akan mengambil alih syarikat namun hingga kini kami tidak menerima sebarang berita.

“Kesemua bas ditempatkan di depot di Bukit Angkat, Kajang. Saya tidak boleh cakap lagi kalau tidak saya akan hadapi masalah,” katanya.

Transnasional dan Plusliner merupakan dua syarikat milik Konsortium Transnasional Bhd (KTB).

Menurut laporan tahunan 2020 kumpulan berkenaan, KTB mengendalikan puirata 80 bas Transnasional dan 40 Plusliner sehari.

Pihak pengurusan juga mengatakan larangan perjalanan rentas negeri menyebabkan perkhidmatan ekspres ditutup sementara.

The Malaysian Insight menghubungi KTB untuk mendapatkan komen.

KTB masuk ke dalam kategori PN-17 Bursa Malaysia pada 14 April 2020 setelah juruauditnya menekankan ketidakpastian yang ketara dalam kemampuan syarikat menerusi penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember, 2018.

Pada 1 September, lembaga pengarah mengatakan bahawa pihaknya sedang dalam proses merumuskan rancangan untuk mengatasi keadaan kewangannya, dengan berbaki tujuh bulan sebelum tarikh akhir penyerahan.

Sekiranya gagal menyerahkan rancangan tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia dan melaksanakannya dalam jangka waktu yang ditentukan, maka kumpulan tersebut mungkin berisiko dikeluarkan dari bursa tempatan.

Untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2020, syarikat mengecilkan kerugian bersih kepada RM24.97 juta daripada RM90.55 juta pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, ia melaporkan pendapatan tahun ke tahun yang lebih rendah sebanyak RM30.39 juta berbanding RM128.98 juta pada tahun sebelumnya.

Ia terus meningkat pada tahun ini kerana melaporkan kerugian RM9.45 juta untuk separuh pertama tahun ini berbanding RM25.82 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Ia melaporkan pendapatan RM6.03 juta berbanding RM22.47 juta setahun yang lalu.

Kumpulan itu dijangka masih mengalami kerugian besar pada tahun 2021. Bagaimanapun, trend ini akan menajdi sebaliknya apabila larangan perjalanan antara negeri dibatalkan dan pelbagai sektor ekonomi lain dibenarkan untuk dibuka semula, laporan tahunannya. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen