China kesan lebih banyak tumpahan minyak berhampiran lokasi kapal tangki tenggelam


Sebuah kapal penyelamat sedang memebersihkan tumpahan minyak dari kapal tangki minyak milik Iran yang didaftarkan di Panama yang membawa 113,000 tan minyak mentah ringan. – Gambar EPA, 22 Januari, 2018.

PIHAK berkuasa maritim telah mengesan beberapa tumpahan minyak di Laut China Timur, berhampiran lokasi di mana sebuah kapal tangki Iran tenggelam seminggu yang lalu, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan Pentadbiran Lautan Negeri (SOA) pada Ahad, tumpahan minyak sepanjang 5.4 kilometer dan 1.4 kilometer lebar itu telah dilihat kira-kira lima kilometer di barat daya lokasi kapal tangki tersebut tenggelam.

Sehari sebelum itu, SOA berkata tumpahan minyak sepanjang empat kilometer dan 400 meter lebar telah dilihat kira-kira lima kilometer di tenggara lokasi kapal tangki tersebut.

Data satelit menunjukkan terdapat tiga tumpahan minyak yang berjumlah kira-kira 332 kilometer persegi dalam kawasan yang dipantau. 

Tumpahan minyak paling besar berukuran kira-kira 28 kilometer persegi.

SOA akan terus memantau situasi itu dan memberikan maklumat terkini.

Kapal tangki minyak milik Iran yang didaftarkan di Panama itu membawa 113,000 tan minyak mentah ringan ketika bertembung dengan CF Crystal, sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong, kira-kira 300 kilometer di timur muara Sungai Yangtze pada 6 Januari, sebelum tenggelam pada 14 Januari.

Sejumlah 32 anggota kru yang berada di atas kapal tangki itu - 30 rakyat Iran dan dua rakyat Bangladesh - hilang. – Bernama, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen