125 penduduk kampung dibunuh di Ethiopia


Penduduk di Amhara mencari perlindungan selepas keluar dari rumah masing-masing berikutan konflik pemberontakan Tigray. – Gambar EPA, 9 September, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 125 penduduk kampung dibunuh di wilayah Amhara, Ethiopia awal bulan ini, kata doktor dan pihak berkuasa tempatan.

Tetapi pemberontak dari Tigray yang terletak bersebelahan lokasi itu menolak dakwaan mereka bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai itu.

Ia laporan terkini kejadian seumpama itu dalam tempoh 10 bulan konflik melanda utara Ethiopia antara pasukan tentera kerajaan dan pemberontak Tigray, yang menyebabkan ribuan nyawa melayang dan mencetuskan krisis kemanusiaan.

“Seramai 125 penduduk di kampung Chenna terkorban, saya sendiri melihat kubur besar itu,” kata doktor di sebuah hospital berhampiran bandar Dabat, Mulugeta Melesa.

Beliau berkata penduduk masih mencari mayat mangsa di kawasan sekitar dan angka kematian meningkat.

Jumlah sebenar kematian tidak dapat diketahui dan tiada yang mengesahkan sama ada mereka dibunuh oleh orang awam atau tentera.

Jurucakap Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) menafikan ia dilakukan anggotanya.

“Kami menolak dakwaan pembabitan pejuang kami membunuh orang awam,” kata Getachew Reda di Twitter.

Utara Ethiopia bergolak sejak November apabila Perdana Menteri Abiy Ahmed menghantar tentera ke Tigray untuk menggulingkan TPLF, di mana beliau mendakwa arahan itu sebagai tindak balas terhadap serangan di kem tenteranya. – AFP, 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen