Seorang maut, puluhan hilang insiden feri berlanggar di India


Paras air di sungai Brahmaputra, laluan air utama di sistem sungai Himalaya, meningkat sejak beberapa minggu lalu susulan monsun tahunan. – Gambar AFP, 9 September, 2021.

SEORANG wanita maut dan berpuluh-puluh yang lain masih hilang selepas dua feri, masing-masing membawa 90 penumpang, bertembung di sungai Brahmaputra di di timur laut India semalam.

Superintendan Polis Jorat Ankur Jain berkata feri buatan kayu dari Nimati Ghat di daerah Jorat, Assam terbalik selepas berlanggar dengan sebuah feri lain.

“Siasatan awal mendapati antara 80 hingga 90 penumpang menaiki setiap feri dan pasukan penyelam kini sedang mencari mangsa di dasar sungai.

“Feri berkenaan mungkin berlanggar akibat masalah komunikasi dan setakat ini, 45 mangsa diselamatkan tetapi seorang penumpang berusia 28 tahun maut,” katanya.

Setakat ini belum ada maklumat mengenai jumlah kecederaan dan difahamkan semua mangsa adalah dari feri yang terbalik manakala penumpang sebuah lagi feri tidak terjejas.

Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter berkata beliau sedih dengan kemalangan itu dan menegaskan semua usaha dilakukan bagi menyelamatkan mangsa.

Paras air di sungai Brahmaputra, laluan air utama di sistem sungai Himalaya, meningkat sejak beberapa minggu lalu susulan monsun tahunan. – AFP, 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen