Polis Hong Kong tangkap penganjur peringati tragedi pembantaian Tiananmen


Hong Kong Alliance menjadi sasaran terbaharu undang-undang keselamatan negara yang telah dikuat kuasa oleh Beijing ke atas bandar itu bagi menghapuskan perbezaan pendapat setelah tunjuk perasaan prodemokrasi besar-besaran dua tahun lalu. – Gambar AFP, 8 September, 2021.

POLIS Hong Kong pada Rabu menangkap empat ahli kumpulan yang menganjurkan acara memperingati tragedi pembantaian Dataran Tiananmen pada 1989, sehari selepas mereka enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat negara.

Hong Kong Alliance menjadi sasaran terbaharu undang-undang keselamatan negara yang telah dikuat kuasa oleh China ke atas bandar itu tahun lalu bagi menghilangkan perbezaan pendapat setelah tunjuk perasaan prodemokrasi besar-besaran dua tahun lalu.

Naib pengerusi kumpulan itu Chow Hang-tung digari dan dibawa polis dari pejabatnya di kawasan pusat perniagaan di Hong Kong.

Tiga yang lain - Simon Leung, Sean Tang dan Chan To-wai - ditangkap pada pagi Rabu, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Polis mengesahkan mereka menahan tiga lelaki dan seorang wanita kerana tidak memberikan maklumat menurut undang-undang keselamatan negara.

Kumpulan itu merupakan salah satu daripada beberapa kumpulan prodemokrasi yang disiasat unit keselamatan negara.

Bekas penjajah United Kingdom mengutuk penahanan tersebut.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, melalui Twitter berkata: “Penangkapan anggota Hong Kong Alliance hari ini adalah satu lagi petunjuk bagaimana Undang-Undang Keselamatan Negara digunakan oleh Beijing untuk mengekang masyarakat sivil dan membendung perbezaan pendapat politik di Hong Kong.” – AFP, 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen