Bangladesh tangguh penghantaran pulang pelarian Rohingya


Seorang wanita Rohingya berdiri di rumah yang dibina sementara di pekan Maungdaw, Rakhine, barat Myanmar. Menurut PBB lebih 600,000 etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran sejak tentera negara itu melancarkan operasi ke atas mereka.– Gambar EPA, 22 Januari, 2018.

PENGHANTARAN pulang ratusan ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar tidak akan berlaku sebagaimana yang dirancang, kata Bangladesh pada Isnin dengan pihak berkuasa negara itu mengakui “masih banyak persediaan” yang perlu dilakukan.

Dhaka sudah melepasi tempoh untuk memulakan proses besar itu pada 23 Januari, selepas persetujuan dicapai dengan Yangon.

Namun Pesuruhjaya Bantuan Pelarian dan Penghantaran Pulang Bangladesh Mohamad Abul Kalam pada Isnin mengumumkan masih terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. 

“Kami masih belum membuat persediaan yang diperlukan untuk menghantar semula pelarian esok. Masih banyak yang perlu dilakukan,” kata Kalam kepada AFP. 

Sejak Ogos tahun lalu sekitar 655,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari sempadan ke Bangladesh berikutan kempen tentera di negeri Rakhine yang disifatkan PBB sebagai “pembersihan etnik”.

Mereka membanjiri kawasan kem yang serba kekurangan dengan membawa sekali kisah hitam mereka dirogol, dibunuh dan didera oleh tentera Myanmar atau pelampau Buddha. 

Selepas gesaan antarabangsa, termasuk kritikan ke atas pemimpin rakyat Myanmar Aung San Suu Kyi, Yangon dan Dhaka pada awal bulan lalu mencapai persetujuan untuk menghantar semula pelarian berkenaan, dalam proses yang dijangka mereka akan memakan masa dua tahun. 

Kumpulan hak asasi dan PBB berkata sebarang penghantaran semula perlu dibuat dengan sukarela, dengan laporan kebanyakan penempatan Rohingya musnah dibakar.

Bangladesh memberi jaminan kepada masyarakat dunia hanya mereka yang mahu kembali sahaja akan dibenarkan pulang ke tanah air mereka di Rakhine dihantar ke Myanmar dan proses itu akan membabitkan agensi pelarian PBB. 

Namun pada Isnin, Kalam berkata pusat transit masih perlu dibina dan kerja-kerja pembinaan masih banyak yang perlu dilakukan melihatkan kepada senarai mereka yang mahu kembali ke Myanmar. 

“Tanpa menyiapkann semua ini, kita tidak boleh hantar mereka kembali terus. Kerja ini masih berjalan,” katanya. 

Kalam bagaimanapun tidak memberikan butiran tarikh permulaan operasi itu, namun berkata dua tapak berhampiran sempadan dikenal pasti sebagai tapak transit. 

Perjanjian penghantaran pulang itu membabitkan 750,000 pelarian yang melarikan diri sejak Oktober 2016, tetapi tidak termasuk 200,000 etnik Rohingya yang tinggal di Bangladesh.– AFP, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen