Kuala Lumpur, Putrajaya masuk ke Fasa 2 mulai Jumaat ini


Noel Achariam

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan masuk ke Fasa 2 PPN mulai Jumaat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) mulai Jumaat ini, kata Shahidan Kassim hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan juga berkata Wilayah Persekutuan Labuan, yang sudah berada dalam Fasa 4 PPN, akan dibuka semula di bawah gelembung pelancongan mulai 16 September.

“Pada 10 September, Wilayah Persekutuan akan memasuki Fasa 2. Labuan akan sama seperti Langkawi,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Langkawi akan dibuka semula di bawah gelembung pelancongan pada 16 September.

Shahidan juga mengingatkan masyarakat, terutama penduduk bandar agar mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada 2 September, Ismail Sabri berkata Melaka akan beralih ke Fasa 2 sementara Negeri Sembilan memasuki Fasa 3 PPN mulai 4 September.

Beliau berkata perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19.

Ismail Sabri juga berkata jawatankuasa memutuskan untuk membuka kembali sektor pelancongan domestik dengan program gelembung pelancongan bermula di Langkawi.

“Saya ingin memberitahu yang jawatankuasa memutuskan untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi dengan syarat di bawah program gelembung pelancongan.

“Sebagai permulaan, Langkawi dipilih sebagai projek perintis pertama, yang akan dibuka untuk pelancong domestik mulai 16 September”.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut mengumumkan Selangor juga akan beralih ke Fasa 2 mulai 10 September.

Kini, negeri yang masih dalam Fasa 1 ialah Kedah dan Johor, manakala Kelantan, Pahang, Terengganu, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah sudah berada dalam Fasa 2.

Negeri yang sedang berada dalam Fasa 3 ialah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak manakala Labuan telah beralih ke Fasa 4, kategori terakhir PPN.

Di bawah Fasa 2, rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksinasi dan ibu bapa yang sudah lengkap dua dos juga dibenarkan membawa keluar anak bawah 17 tahun, asalkan mematuhi SOP yang ditetapkan. – 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen