China sambut baik tamatnya anarki di Afghanistan


Menteri Luar China Wang Wenbin berkata republik komunis itu mengalu-alukan penubuhan kerajaan sementara oleh Taliban, menambah ia peluang baik buat kedua buah negara untuk bekerjasama. – Gambar EPA, 8 September, 2021.

BEIJING pada Rabu mengalu-alukan tamatnya anarki tiga minggu di Afghanistan dengan penubuhan kerajaan sementara di Kabul.

Republik Komunis itu juga dalam masa sama menyeru Taliban memulihkan ketenteraman di negara bergolak itu.

Taliban menubuhkan pentadbiran baharu bermula Rabu selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) bulan lepas.

Walaupun ada janji-janji sebelum ini pentadbiran mereka akan lebih inklusif, kerajaan baharu itu juga didapati terdiri daripada barisan yang taat dengan Taliban dalam semua jawatan, dan tanpa wanita.

China mengutuk pengunduran AS, berkata ia tidak dirancang dengan baik malah dibuat dengan terburu-buru. Pada Rabu ia berkata kerajaan baharu akan membantu mewujudkan kestabilan.

“China hormati pengumuman Taliban mengenai pembentukan kerajaan sementara,” kata jurucakap kementerian luar negeri Wang Wenbin pada sidang media.

“Ini telah menamatkan anarki lebih tiga minggu di Afghanistan dan merupakan langkah yang diperlukan untuk pulihkan ketenteraman dan membangun semula negara itu.”

Walaupun sebahagian besar dunia mengambil sikap tunggu dan lihat, China bagaimanapun telah berkata ia bersedia membina hubungan baik dengan Taliban.

Penganalisis berkata pentadbiran yang stabil di Kabul akan membuka peluang ekonomi untuk China dan membolehkan pengembangan infrastruktur luar negara yang besar seperti Inisiatif Belt and Road.

Taliban juga mungkin melihat China sebagai sumber bantuan ekonomi yang penting dan berpotensi menjadi sekutu utama.

Minggu lepas seorang jurucakap Taliban berkata Beijing telah berjanji kepada mereka untuk meningkatkan bantuan dan pertolongan Covid-19.

Namun, Beijing berwaspada terhadap Taliban menyokong kumpulan minoriti Mulsim Uyghur.

Wang berkata pada Rabu China “tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman Afghanistan”, tetapi berharap Taliban “teruskan dasar domestik dan luar negeri yang sederhana dan mantap, dengan tegas mengekang semua jenis pengganas, dan bergaul baik dengan semua negara, terutama negara jiran.” – AFP, 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen