Pulau Pangkor belum sedia terima pelancong, kata exco


Bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak perlu menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasinya. – Gambar Youtube, 8 September, 2021.

PULAU Pangkor belum bersedia untuk menerima kedatangan pelancong di bawah Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa Dua Pelan Pemulihan Pelancongan kerana belum lagi mencapai imuniti kelompok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata perkara itu diputuskan Menteri Besar Saarani Mohamad dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelancongan Perak, semalam.

Beliau berkata ketika ini proses vaksinasi ke atas penduduk di Pulau Pangkor berjalan lancar dan mencapai hampir 100%.

“Bagaimanapun, Pulau Pangkor masih lagi belum mencapai imuniti kelompok. Kita menjangkakan selewat-lewatnya (proses vaksinasi) boleh dicapai pada akhir September,” katanya pada sidang akhbar sempena Simposium Muzik Ipoh 2021 yang diadakan secara maya di Ipoh, hari ini.

Bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak perlu menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.

Pada Julai, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Syukri berkata Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa Dua Pelan Pemulihan Pelancongan ini diperluaskan ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata simposium secara maya anjuran Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) akan diadakan pada 2 Okt ini bertemakan ‘Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari’ yang menggabungkan beberapa seniman tanah air dan Indonesia. – Bernama, 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen