Akta kawal pengembangan agama bukan Islam: Jangan ulang polemik RUU355


PENGUMUMAN kerajaan untuk menggubal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Ramai yang keliru dengan pengumuman ini sedangkan akta ini bagi menyekat penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. 

Akta ini tidak langsung membawa maksud menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap sesama warganegara bukan Islam. 

Hak ini selaras dengan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”. 

Penggubalan undang-undang ini adalah selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. 

Oleh itu, penggubalan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan ini dan ia sah dan perlu dihormati. 

Pada masa sekarang, pendakwaan terhadap kesalahan di bawah enakmen sebegini di negeri-negeri perlu dibuat di Mahkamah Sivil walaupun undang-undang ini sendiri di bawah bidangkuasa Majlis Agama Negeri-Negeri. 

Ini menimbulkan kesulitan dalam penguatkuasaan undang-undang ini kerana perlukan libat urus antara penguatkuasa agama Islam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Mahkamah Sivil.

Ini kerana struktur penguatkuasaan sekarang memisahkan antara pendakwaan syariah dan pendakwaan sivil. 

Seharusnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Idris Ahmad melihat hal ini sebagai kekangan dalam penguatkuasaan dan mencadangkan cara-cara bagi mengatasi masalah ini.

Di samping itu, dicadangkan supaya menteri hal ehwal agama memberikan tumpuan kepada aspek latihan penguatkuasaan dan pendakwaan kepada penguatkuasa agama dan pihak PDRM. 

Sepanjang pengetahuan umum, undang-undang ini jarang sekali dikuatkuasakan melalui pendakwaan di mahkamah kerana wujud isu-isu kefahaman teknikal undang-undang yang belum dirungkaikan. 

Untuk Wilayah Persekutuan

Rang Undang-Undang bagi Akta ini dibawa ke Parlimen kerana ia bertujuan untuk dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan. 

Sesungguhnya undang-undang ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana undang-undang yang sama telah lama wujud di dalam bentuk enakmen di hampir kesemua negeri-negeri di Malaysia. 

Sebagai contoh di Kedah undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada1988, Johor pada 1991 dan Selangor pada 1988.

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum menggubal, melulus dan mewartakan undang-undang ini. 

Justeru, akta baharu yang dicadangkan ini adalah satu undang-undang sedia ada selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak seharusnya dijadikan polemik politik untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan kaum dalam kemajmukan Malaysia. 

Maka, PAS tidak seharusnya menggunakan undang-undang ini untuk dijadikan candu politik atau gasolin membakar api perkauman. 

Kegagalan PAS meminda Akta 355 sehingga sekarang adalah bukti kegagalan kerajaan persekutuan mengangkat martabat agama Islam walaupun sudah 18 bulan PAS menjadi kerajaan. 

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. 

Oleh itu, bagi menjaga keharmonian kaum supaya tidak wujud apa-apa usaha mengembangkan agama lain terhadap orang Islam, maka undang-undang ini perlu diwujudkan. 

Konflik agama adalah sesuatu polemik yang begitu sensitif kepada manusia sejagat dan oleh itu, apa sahaja kecenderungan ke arah wujudnya konflik ini perlu dikawal dan dibendung sedari awal. 

Penggubalan undang-undang sebegini adalah antara langkah awal dan kaedah preventif bagi memastikan kedudukan Islam selaku agama bagi persekutuan terjamin dan dilindungi serta bagi mengelak ketegangan agama daripada meletus. 

Negara ini akan aman dan harmoni jika kedudukan dan kepentingan agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan dipelihara dan dipertahankan. 

Justeru, kerajaan terutamanya Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengadakan sesi konsultansi dan libat urus terlebih dahulu dengan semua pemegang taruh (stake holders) supaya penggubalan akta ini tidak menjadi satu polemik politik berbaur perkauman sempit tetapi satu pelaksanaan undang-undang yang menjamin keharmonian hubungan antara kaum dan agama dalam negara. 

Jangan ulangi lagi polemik RUU355 – menang sorak kampung tergadai. – 8 September, 2021.

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional merangkap Adun Permatang Pasir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen