SEKUMPULAN perompak melarikan barang kemas bernilai 10 juta euro (RM50 juta) dari premis Bulgari di Place Vendome di Paris semalam.
Polis mengejar kumpulan berkenaan dan berjaya menahan dua suspek.
Polis berkata rompakan di premis barangan mewah di tengah ibu negara Perancis itu dilakukan pada waktu tengah hari dan polis tiba tidak lama kemudian.
Suspek melarikan diri menggunakan kereta BMW berwarna kelabu dan dua skuter, di mana salah seorang suspek berjaya ditahan selepas ditembak di kaki oleh polis.
Kereta BMW itu dilaporkan ditinggalkan, sementara seorang lagi suspek ditemui bersembunyi di tempat letak kereta di pusat beli belah Les Halles, berhampiran muzium Louvre dan gereja Notre-Dame.
Polis Paris menerusi Twitter berkata tindakan pantas diambil sebaik saja rompakan berlaku di kedai barang kemas di Place Vendome dan dua suspek ditahan.
Sumber rapat siasatan berkata perompak berjaya melarikan barangan kemas bernilai 10 juta euro dari Bulgari, pereka barangan kemas tersohor yang juga sebahagian konglomerat barangan mewah Perancis, LVMH.
Rompakan itu antara insiden terbaru dalam siri beberapa rompakan kedai barangan kemas di Paris sepanjang musim panas ini.
Pada 27 Julai lalu, seorang lelaki mencuri barang kemas bernilai dua juta euro dari butik Chaumet sebelum melarikan diri menunggang skuter elektrik.
Dia ditahan keesokan harinya bersama seorang lagi suspek dan kebanyakan barangan yang dirompak berjaya ditemui kembali.
Tiga hari kemudian, dua lelaki bersenjata merompak premis Dinh Van, melarikan barangan bernilai sekitar 400,000 euro. – AFP, 8 September, 2021.
Komen