SEKURANG-KURANGNYA 17 pesakit terkorban selepas sebuah hospital di tengah Mexico dinaiki air, menyebabkan bekalan elektrik dan oksigen terjejas.
Hospital di bandar Tula di Hidalgo itu banjir selepas air sungai berdekatan melimpah ke tebing berikutan hujan lebat, kata jurucakap kerajaan menerusi Twitter.
Pengurus Besar Institut Keselamatan Sosial Mexico Zoe Robledo yang menguruskan hospital berkenaan berkata air dengan cepat menyebabkan bekalan elektrik dan oksigen terputus.
“Baki 40 pesakit terselamat dan dibawa ke hospital lain termasuk mangsa Covid-19 yang memerlukan bekalan oksigen untuk bertahan,” katanya.
Kerajaan turut mengerahkan anggota tentera dan kakitangan jabatan bekalan tenaga bagi membantu mangsa di Tula, kawasan paling teruk terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda sebahagian besar Mexico.
Dua mangsa dilaporkan maut di Ecatepec, pinggir Mexico City di mana banjir menyebabkan jalan raya berubah menjadi sungai. – AFP, 8 September, 2021.
Komen