Puluhan ribu warga emas di rumah jagaan tidak berdaftar belum divaksin, kata persatuan


Bernard Saw

Jangkitan Covid-19 di rumah jagaan warga emas masih membimbangkan kerana ada beberapa rumah jagaan menjadi kluster Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

DIJANGKAKAN puluhan ribu warga emas masih belum divaksinasi, walaupun hampir 70% penduduk dewasa Malaysia menerima dua dos vaksin Covid-19, kata mereka yang bekerja menjaga golongan berusia.

Walaupun sebahagian besar jumlah ini berada di rumah jagaan tidak berdaftar, namun urusan vaksinasi mereka tidak boleh diabaikan, kata penjaga.

Jangkitan Covid-19 di rumah jagaan warga emas masih membimbangkan kerana ada beberapa rumah jagaan menjadi kluster Covid-19, tambah mereka.

Rumah jagaan tidak berdaftar masih dibiarkan kerana ramai tidak tahu cara untuk daftar vaksinasi penghuninya, selain bimbang dengan status tidak berdaftar mereka, kata Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (AgeCope). 

Kebanyakan rumah jagaan berdaftar selesai mengimunisasi penghuninya, kata Presiden AgeCope Delren Terrence Douglas.

Beliau menganggarkan sekitar 1,300 rumah jagaan warga emas yang tidak berdaftar. Mereka mungkin berdaftar sebagai entiti perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, tetapi tidak berbuat demikian dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya.

Jika setiap rumah ada lebih kurang 40 penghuni, mungkin secara keseluruhannya hampir 50,000 warga emas masih belum divaksinasi, tambah Douglas.

“Banyak rumah jagaan yang tidak berlesen bimbang mereka akan didenda apabila pegawai kerajaan datang. Walaupun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah berjanji tidak akan ada tindakan, mereka masih bimbang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Douglas menubuhkan kumpulan WhatsApp bagi perniagaan yang tidak berdaftar ini untuk bertukar-tukar berita.

Terdapat kes di Ipoh di mana rumah jagaan warga emas yang tidak berdaftar diberi amaran oleh kerajaan tempatan yang berkata, setelah vaksinasi selesai pihak berkuasa akan kembali selepas pandemik bagi memeriksa status pendaftaran mereka.

“Apabila pegawai penguatkuasa bersikap seperti itu, pengendali rumah-rumah ini jadi takut. Berita itu tersebar, orang lain pun jadi tawar hati,” kata Douglas.

Polisi di rumah jagaan warga emas kini adalah untuk tidak terima pelawat dan mereka yang masuk ke premis perlu membuat ujian saringan Covid-19.

Rumah jagaan juga tidak mahu mendorong saudara-mara penghuni membawa mereka ke pusat vaksinasi agar dapat kurangkan risiko jangkitan.

“Kami mohon Kementerian Kesihatan buat vaksinasi di tempat mereka bagi meminimumkan kontak antara warga emas dan dunia luar,” kata Douglas.

Tambahnya AgeCope mengatur pertemuan dengan menteri kesihatan untuk membincangkan vaksinasi di rumah jagaan warga emas.

Douglas juga berharap pertemuan dengan kementerian kesihatan yang baharu akan menjadi peluang untuk tangani masalah jangka panjang rumah jagaan tidak berdaftar.

Alasan untuk tidak mendaftar termasuk kurangnya kesedaran tentang undang-undang, kegagalan untuk memenuhi standard dan peraturan yang diperlukan, atau lewat perbaharui permit.

Individu berusia lebih 60 tahun antara kumpulan terawal diberi vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada April lalu. – 8 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen