AGENSI cuaca Jepun pada Isnin mengeluarkan amaran salji tebal di Tokyo buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun, menggesa orang ramai untuk pulang awal berikutan kebimbangan masalah trafik.
Banyak penerbangan yang tiba dan berlepas dari ibu negara Jepun itu terpaksa dihentikan berikutan salji tebal, malah di beberapa tempat perkhidmatan kereta api juga terpaksa dihentikan.
Salji tebal kebiasaannya hanya melanda di wilayah utara Jepun dan ia sesuatu yang sangat jarang berlaku di Tokyo.
Dan salji dijangka akan turun lebih tebal, kata ketua ramalan kaji cuaca, Tsumoro Matsumoto, menggesa orang ramai untuk memendekkan hari bekerja mereka.
“Salji tebal akan melanda Tokyo petang ini, kata Matsumoto dan memberi amaran keadaan salji itu akan memberi kesan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam apabila tiba waktu puncak.
Agensi kaji cuaca itu kebiasaannya hanya mengeluarkan amaran salji tebal kerana bimbang ia akan merosakkan harta benda awam atau mengganggu trafik.
“Di Tokyo, kami turut diberi amaran salji tebal dan ia dijangka akan bertambah melebihi 10 sentimeter dalam tempoh 12 jam,” kata Sakiko Nishioka dari agensi cuaca kepada AFP.
Kali terakhir amaran dikeluarkan adalah pada Februari 2014 yang menyaksikan Tokyo menerima salji sehingga 27 sentimeter. – AFP, 22 Januari, 2018.
Komen