Azeez belum bebas tuduhan rasuah, kata SPRM


SPRM menyatakan peguam bela Amer Hamzah Arshad hanya berhujah di mahkamah bagi membatalkan tuduhan terhadap Abdul Azeez, malah perbicaraan masih berlangsung lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2021.

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim belum bebas daripada tuduhan rasuah kerana belum diputuskan oleh mahkamah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kenyataan SPRM sebagai respons kepada laporan semalam yang menyebut peguam Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad berkata tuduhan terhadap bekas pengerusi Tabung Haji itu tidak boleh bertahan.

Ini kerana analisis SPRM sendiri menunjukkan ahli politik itu bekerja dengan syarikat yang dituduh menerima rasuah, dan telah menerima imbuhan yang sah, kata Amer.

Amer memberitahu Mahkamah Rayuan di Putrajaya tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Abdul Azeez perlu dibatalkan kerana laporan analisis kewangan SPRM menunjukkan Abdul Azeez adalah sebahagian daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, telah menerima imbuhan yang sah dan telah membayar cukai pendapatannya.

Menanggapi dakwaan Amer, SPRM berkata peguam tersebut hanya berhujah di mahkamah bagi membatalkan tuduhan terhadap Abdul Azeez, malah mahkamah masih belum memutuskan perkara itu.

Tambah badan antirasuah itu, Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sementara Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

“Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

“Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” kata SPRM.

Abdul Azeez, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Bagi pertuduhan rasuah, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank, Puchong City Centre, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10  April 2018 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abang Abdul Azeez iaitu Abdul Latif pula pada asalnya berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan beliau menerima RM4 juta sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pada Februari susulan permohonan yang dikemukakan pendakwaan. – 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen