Kempen produk Afrika beri manfaat kepada petani Afrika, pengguna China


Ketua Pengarah Jabatan Afrika Kementerian Luar China, Wu Peng berkata China ikhlas untuk mempertingkatkan import dan berkongsi hasil pembangunan dengan Afrika. – Gambar AFP, 7 September, 2021.

DUA kempen mempromosi produk Afrika iaitu Musim Promosi E-Dagang Produk Afrika dan Musim Penstriming Khas Afrika secara rasminya dibuka pada Isnin.

Kempen di bawah inisiatif Forum Kerjasama China-Afrika 2021 itu dijadual berlangsung selama tiga bulan secara dalam talian.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Afrika Kementerian Luar China, Wu Peng, China tidak menyasarkan untuk mendapat keuntungan dagangan dalam kerjasama dengan Afrika.

Ketika berucap sempena perasmian kempen tersebut, beliau berkata China ikhlas untuk mempertingkatkan import dan berkongsi hasil pembangunan dengan Afrika.

Sebagai enjin transformasi digital sosioekonomi dan peningkatan penggunaan antara satu sama lain, e-dagang akan membantu Afrika membuka pasaran China.

Jelas Wu, kempen berkenaan akan mempermudah pengguna China untuk membeli produk Afrika dengan harga yang lebih kompetitif.

Promosi yang disifatkan untuk mewujudkan situasi sama menang itu telah menggalakkan semangat kerjasama pragmatik.

“Sebagai contoh, kempen Musim Penstriming Khas pada edisi kali ini akan menyaksikan buah-buahan seperti sitrus dan avokado serta kopi dan cili kering dapat terus dihantar kepada pengguna melalui e-dagang.

“Dengan itu, petani Afrika mendapat manfaat dan mengatasi kesukaran yang dihadapi akibat penularan wabak Covid-19,” kata Wu lagi.

Sementara itu, Ketua Delegasi Afrika ke China, Martin Mpana menyifatkan kedua-dua kempen tersebut sebagai langkah penting dalam penyelarasan perdagangan bilateral selain menggalakkan eksport Afrika ke China.

Justeru, beliau merangkap Duta Cameroon ke China itu berharap Afrika dapat memanfaatkan peluang pembangunan e-dagang tersebut.

Ekonomi dan perdagangan dua hala antara China dan Afrika memperlihatkan pemulihan ketara pada tahun ini.

Pada Januari hingga Julai, jumlah dagangan merekodkan USD139.1 bilion (RM576.3 bilion), meningkat 42 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pasaran China terus dibuka untuk Afrika dengan nilai import produk pertanian dari Afrika pada 2020 meningkat 4.6 peratus. – Bernama, 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen