Mexico bakal ganti patung Columbus dengan wanita peribumi


Patung pelaut Christopher Columbus di Bandar Mexico akan digantikan dengan patung salah seorang wanita peribumi negara itu bagi mengangkat darjat kaum wanita selain menandakan tindakan keadilan sosial, kata Datuk Bandar Mexico Claudia Sheinbaum. – Gambar AFP, 7 September, 2021.

SEBUAH patung Christopher Columbus di tengah-tengah Bandar Mexico akan digantikan dengan salah seorang wanita pribumi, kata pihak berkuasa pada Isnin, beberapa hari sebelum ulang tahun kemerdekaan ke-200 negara itu.

Tokoh pelaut Itali, yang dikeluarkan dari Reforma Avenue tahun lalu ketika penunjuk perasaan berjanji untuk menjatuhkannya, akan dipindahkan ke tempat yang “selamat dan bermaruah”, kata Institut Antropologi dan Sejarah Nasional.

Ia akan digantikan dengan patung wanita peribumi Olmec yang dibuat oleh artis Mexico Pedro Reyes, kata Datuk Bandar Mexico Claudia Sheinbaum.

“Sebenarnya wanita peribumi yang mungkin menanggung beban terbesar dalam sejarah Mexico dan paling tidak diiktiraf selama ini,” katanya.

Keputusan itu juga menandakan tindakan “keadilan sosial,” tambah Sheinbaum, dan juga pengiktirafan 500 tahun “penentangan peribumi” sejak penaklukan Sepanyol.

Tahun lalu, kumpulan aktivis menganjurkan tunjuk perasaan yang digelar “Kami akan runtuhkannya” pada Isnin, 12 Oktober, tarikh yang menandakan kedatangan Columbus di Amerika pada 1492.

Di Mexico, tarikh tersebut diingati sebagai Dia de la Raza (Hari Kaum-Kaum), sebagai pengiktirafan terhadap warisan peribumi dan Eropah negara itu.

Patung Mexico City, yang telah rosak sejak 1992, diletakkan di Reforma Avenue pada 1877. – AFP, 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen