Lelaki serang wanita tidak bertudung ditangkap polis


Looi Sue-Chern

Seorang lelaki didakwa menampar wanita tidak bertudung di Pulau Pinang awal bulan ini. – Gambar YouTube, 22 Januari, 2018.

POLIS Pulau Pinang telah berjaya menangkap lelaki yang menyerang seorang wanita kerana tidak bertudung awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki itu ditangkap semalam dan telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan hari ini.

“Dia dijumpai di Jalan Taman Perwira di Bukit Tengah malam tadi, kira-kira jam 10.30 malam.

“Dia mengaku telah menolak kepala wanita terbabit. Dia marah kerana wanita itu tidak memakai tudung.

“Dia juga marah kerana wanita itu memarahinya dan memanggilnya gila.”

Nik Ros Azhan berkata lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Ipoh itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Kejadian yang dirakam video itu menjadi viral dan dilaporkan media termasuk media luar negara, The Daily UK. 

Serangan itu telah menimbulkan kemarahan awam disebabkan ia melibatkan ‘tudung’ yang dipakai wanita Islam.

Jumaat lalu pemimpin wanita Pakatan Harapan Pulau Pinang mengutuk serta menggesa pihak polis menyiasat kejadian terbabit. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Syedleena Abdul Rashid juga membuat laporan polis di balai polis Jalan Patani.

Semalam, wanita itu akhirnya telah membuat laporan polis di Bukit Mertajam.

Menurut polis,  bapa saudara suspek memaklumkan suspek kurang siuman selama 15 tahun akibat kemalangan jalanraya. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen