SEKURANG-KURANGNYA 14 anggota keselamatan Palestin berdepan perbicaraan ketenteraan selepas dituduh secara rasmi semalam berhubung kes kematian aktivis terkemuka Nizar Banat.
Kematiannya Jun lalu selepas pasukan keselamatan menyerbu dan mengheretnya dari kediamannya di bandar Hebron, mencetuskan tunjuk perasaan dan kecaman global.
Hasil bedah siasat mendapati beliau dipukul di kepala, dada, leher, kaki dan tangan dalam tempoh kurang dari sejam antara masa ditahan dan kematiannya.
Banat antara pengkritik utama pihak berkuasa Palestin dan presidennya, Mahmud Abbas, 86.
Waris Banat menyatakan keraguan terhadap kemampuan pihak berkuasa Palestin (PA) menjamin keadilan akan ditegakkan dan menggesa siasatan antarabangsa yang bebas diadakan.
Bagaimanapun, PA khususnya Perdana Menteri Mohammad Shtayyeh menjanjikan akan bertanggungjawab dan mengarahkan siasatan menyeluruh secara telus.
Jurucakap perkhidmatan keselamatan Palestin, Talal Dweikat semalam berkata 14 kakitangan perkhidmatan itu secara rasmi dituduh “memukul hingga menyebabkan kematian, salah guna kuasa dan pencabulan arahan keselamatan”.
Menerusi sistem keadilan Palestin di Tebing Barat sejak 1967, mahkamah tentera Palestin akan menjalankan perbicaraan.
Bulan lalu, keluarga Banat cuba mendapatkan pengadilan antarabangsa dengan meminta campur tangan polis Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Susulan itu, PBB dan Kesatuan Eropah (EU) membangkitkan kebimbangan mengenai kes tahanan aktivis oleh pasukan keselamatan Palestin sejak kematian Banat selain memberi amaran kepada PA, yang seolah-olah menafikan asas kebebasan di Tebing Barat. – AFP, 7 September, 2021.
Komen